EKONOMI

Hibiscus Petroleum Catat Keuntungan Bersih Lebih Rendah Sebanyak RM75.60 Juta

19/11/2024 05:14 PM

KUALA LUMPUR, 19 Nov (Bernama) -- Keuntungan bersih Hibiscus Petroleum Bhd bagi suku pertama berakhir 30 Sept 2024, susut kepada RM75.60 juta daripada RM154.30 juta yang dicatatkan semasa suku yang sama tahun sebelum ini.

Hasil turut merosot kepada RM477.40 juta berbanding RM746.62 juta pada suku perbandingan, manakala pendapatan sesaham jatuh kepada 9.54 sen daripada 19.17 sen, katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Syarikat minyak dan gas itu mengisytiharkan dividen interim satu peringkat pertama sebanyak 2.0 sen sesaham, yang akan dibayar menjelang 22 Jan 2025, berdasarkan tarikh kelayakan dividen yang ditetapkan pada 27 Dis 2024.

Sejumlah 1.67 juta tong setara minyak (boe) telah dijual pada suku semasa merangkumi 1.02 juta tong minyak mentah serta 3,909 juta kaki padu standard (MMscf) gas.

“Pada 14 Okt 2024, kumpulan itu telah menyempurnakan pengambilalihan TotalEnergies EP Brunei, melalui cawangannya di Brunei, memegang kepentingan dan pengendalian di lapangan Blok B Maharajalela Jamalulam yang terletak di Brunei," katanya lagi.

“Projek yang sedang dilaksanakan (South Furious) 30 Waterflood dan Teal West) kekal di landasan untuk memberi impak kepada volum pengeluaran menjelang akhir tahun 2025,” tambahnya lagi.

Hibiscus Petroleum ketika mengulas mengenai prospek berkata ia sedang melabur bersama Petronas Carigali Sdn Bhd dalam beberapa peluang berkaitan penerokaan yang terletak di sekitar infrastruktur yang kini dikendalikan oleh kedua-dua pihak sebagai sebahagian daripada rancangan masa depan kumpulan untuk operasinya di Malaysia.

“Secara keseluruhan, kumpulan berada pada kedudukan terbaik bagi membina rekod prestasi operasinya yang cemerlang, yang telah dibangunkan di Malaysia dan United Kingdom, kami juga kekal fokus untuk memberikan prestasi optimum dalam persekitaran harga minyak yang kukuh,” katanya.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy