AM

Banjir: JBPM Beri Tumpuan Utama Lima Negeri Terdedah Hujan Luar Jangka

19/11/2024 05:40 PM

SEREMBAN, 19 Nov (Bernama) -- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) memberi tumpuan utama kepada Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor dan barat Sarawak yang dijangka terdedah kepada hujan luar jangka pada bulan hadapan hingga boleh mengakibatkan banjir.

Ketua Pengarahnya Datuk Nor Hisham Mohammad berkata JBPM dan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) bersama agensi lain memantau teliti fenomena luruan monsun tropika atau tekanan atmosfera rendah yang kemungkinan menyebabkan hujan berintensiti tinggi di beberapa kawasan berisiko di negeri berkenaan.

“Arahan telah diberikan agar penumpuan utama kepada negeri berkenaan termasuk bantuan logistik dari negeri bersempadan atau mobilisasi antara daerah. Kekhuatiran saya adalah pada luruan monsun tropika yang dijangka berlaku lima ke enam siri berdasarkan rekod Monsun Timur Laut (MTL) lepas.

“Kalau ada hujan lebat dan banjir serentak dengan air pasang besar yang dijangka berlaku pada 16 hingga 18 Dis ini, kita beri fokus paling utama,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pemakaian Pangkat Penguasa Bomba Gred KB54, KB52, KB48 dan KB44 kepada 68 pegawai di sini hari ini.

Beliau berkata JBPM turut bersiap siaga dengan 24,263 anggota membabitkan 13,646 pegawai sepenuh masa, pegawai bomba bantuan (2,196)  dan anggota pasukan bomba sukarela (8,421) bagi menghadapi MTL termasuk pelbagai keperluan aset.

Dalam pada itu, beliau berkata tiada keperluan untuk menambah keanggotaan di beberapa negeri sebagai persediaan MTL ketika ini berikutan koordinasi antara agensi dapat dilaksanakan dengan baik sebaliknya lebih fokus kepada penambahan logistik termasuk bot, lori dan helikopter.

“Bagaimanapun, sekiranya banjir semakin buruk, kita akan tukar syif anggota daripada 12 jam ke 24 jam pada bila-bila masa apabila berlaku insiden. Ia sama ada  kita akan tukar syif 24 jam atau tambah anggota daripada 33 peratus ke 50 peratus.

“Tapi kalau tukar syif pun tak dapat jangka, kita akan mulakan pergerakan antara daerah dan sambung pergerakan antara negeri. Sekarang ini 22 pasukan gerak cepat dalam siap siaga, kita bagi isyarat sahaja dan mereka sedia masuk ke kawasan bencana,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata penambahbaikan dan pencapaian dalam JBPM berlaku pada landasan yang baik dengan 13 negeri dianugerahkan lima bintang dan dua negeri menerima empat bintang berbanding tahun lepas hanya empat negeri memperoleh empat bintang.

“Sasaran kita pada 2026 , seluruh negeri dapat pengiktirafan lima bintang sekali gus memastikan JBPM memberi perkhidmatan yang baik kepada rakyat, penarafan bintang ini bagi memastikan setiap aspek dalam pengurusan kebombaan di semua tempat dipantau teliti dan seragam,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy