EKONOMI

Bursa Malaysia Akhiri Kenaikan Awal Untuk Ditutup Tidak Menentu

19/11/2024 07:42 PM

Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad

KUALA LUMPUR, 19 Nov (Bernama) -- Bursa Malaysia mengakhiri kenaikan yang dicatatkan lebih awal dengan ditutup tidak menentu pada Selasa, dalam keadaan pasaran serantau yang lebih positif.

Penganalisis berkata prestasi itu direkodkan apabila kaunter hartanah, pembinaan dan penjagaan kesihatan menarik minat belian, manakala saham perladangan, perbankan dan telekomunikasi mengalami pengambilan untung.

Pada pukul 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 1.70 mata untuk ditutup pada 1,602.34 daripada 1,604.04 ketika ditutup semalam.

Indeks penanda aras itu, yang dibuka 0.86 mata lebih rendah kepada 1,603.18, bergerak antara 1,601.02 hingga 1,608.88 sepanjang sesi dagangan.

Bagaimanapun, keseluruhan pasaran adalah positif, dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 565 berbanding 438 manakala 502 kaunter kekal tidak berubah, 961 kaunter tidak diniagakan dan 14 yang lain digantung.

Jumlah dagangan berkurang kepada 2.83 bilion unit bernilai RM2.08 bilion daripada 2.96 bilion unit bernilai RM2.23 bilion semalam.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata indeks penanda aras kekal dalam julat kecil dan memerlukan penembusan yang kukuh di atas paras rintangan 1,630 dengan kestabilan berpanjangan untuk menunjukkan trajektori yang lebih positif.

Beliau berkata dari perspektif teknikal, FBM KLCI berada hampir dengan paras terlebih jual dan indikator Pertumpuan-Pencapahan Purata Pergerakan (MACD) menghampiri persilangan dengan garis isyaratnya.

Buat masa ini, FBM KLCI dijangka mengekalkan aliran tidak banyak berubah dengan kecenderungan meningkat dalam julat 1,600 hingga 1,630 bagi baki tempoh minggu ini.

Sementara itu, Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Mohd Sedek Jantan berkata FBM KLCI ditutup rendah sedikit namun kekal di atas paras penting 1,600 mata iaitu 1,602.34.

“Ketidaktentuan pasaran terus meningkat, berikutan faktor global seperti laporan pendapatan Nvidia yang akan datang, kadar utama pinjaman China dan angka inflasi zon Euro. Peristiwa ini boleh mengubah sentimen pelabur atau hala tuju dengan ketara,” katanya.

Beliau juga berkata pelabur kekal dengan sentimen berhati-hati apabila peserta pasaran melaraskan jangkaan terutama berkaitan dengan pendekatan Rizab Persekutuan AS terhadap pelonggaran dasar monetari.

“Bagi tempoh akan datang, pasaran mungkin mengalami turun naik ketara yang lebih tinggi dalam jangka masa terdekat.

“Risiko utama termasuk kesan berterusan daripada dasar AS yang lepas, pendapatan dan pengaruh Nvidia ke atas penilaian teknologi, serta ketidaktentuan yang lebih luas ke atas dasar monetari global,” katanya.

Antara saham berwajaran tinggi, CIMB menambah 3.0 sen kepada RM8.24, Tenaga Nasional naik 6.0 sen kepada RM14.42, IHH Healthcare meningkat 4.0 sen kepada RM7.26, Maybank merosot 10.0 sen kepada RM10.24, dan Public Bank kurang 6.0 sen kepada RM4.44.

Bagi saham aktif, Cape EMS naik setengah sen kepada 38.5 sen, Life Water menokok 8.0 sen kepada 94 sen, Steel Hawk meningkat 9.5 sen kepada 45.5 sen, manakala Classita, Aizo, dan EA Holdings masing-masing kekal pada 6.5 sen, 14.5 sen, dan setengah sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas Shariah menambah 31.24 mata kepada 12,144.86, Indeks FBM Emas naik 3.25 mata kepada 12,176.11, Indeks FBMT 100 menokok 1.56 mata kepada 11,877.38, Indeks FBM ACE naik 15.17 mata kepada 5,190.26, dan Indeks FBM 70 meningkat 54.26 mata kepada 17,918.15.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.18 mata kepada 170.43, Indeks Tenaga menokok 2.23 mata kepada 830.10, Indeks Perladangan susut 41.03 mata kepada 7,664.46, dan Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 86.32 mata kepada 19,124.22.

Jumlah dagangan Pasaran Utama berkurang kepada 1.47 bilion unit bernilai RM1.83 bilion daripada 1.60 bilion unit bernilai RM1.99 bilion semalam.

Jumlah dagangan waran meningkat kepada 928.20 juta unit bernilai RM118.86 juta daripada 860.16 juta unit bernilai RM116.59 juta sebelum ini.

Jumlah dagangan Pasaran ACE turun kepada 427.03 juta unit bernilai RM138.67 juta daripada 491.39 juta unit bernilai RM125.59 juta semalam.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 501.73 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (345.47 juta), pembinaan (83.59 juta), teknologi (112.60 juta), SPAC (tiada), perkhidmatan kewangan (55.67 juta), hartanah (126.68 juta), perladangan (34.80 juta), REIT (13.19 juta), dana tertutup (6,000), tenaga (74.98 juta), penjagaan kesihatan (47.49 juta), telekomunikasi dan media (33.26 juta), pengangkutan dan logistik (16.80 juta), utiliti (25.45 juta), serta amanah perniagaan (94,300).

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy