SUKAN

Teknologi AI Buka Jalan Lahir Lebih Ramai Jaguh Sukan Dunia

20/11/2024 11:28 AM

Oleh Muhammad Zulkarnain Mohd Azman dan Amiril Muttaqien Meketar

KUALA LUMPUR, 20 Nov (Bernama) -- Mampukah seorang anak cilik Orang Asli dari Gua Musang, Kelantan, menggegarkan pentas antarabangsa pada Sukan Olimpik 2036?

Senario tersebut mungkin tidak ‘masuk akal’ satu ketika dahulu namun ia bukan sesuatu yang mustahil dengan bantuan kecerdasan buatan (AI) yang kini sedang berkembang pesat dalam era moden.

Bukan sahaja sering digunakan dalam pelbagai bidang antaranya perubatan dan kejuruteraan malah Dekan Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat Universiti Putra Malaysia Prof Datuk Dr S Shamala berkata AI memainkan elemen penting dalam merevolusikan arena sukan tanah air dan dunia.

Hanya dengan memanfaatkan teknologi AI, Shamala berkata atlet mahupun jurulatih mampu meramal prestasi masing-masing sekali gus membantu mereka dalam mengatur strategi diperlukan pada masa akan datang.

“Satu daripada ciri unik about AI adalah boleh meramal apa yang berlaku kepada atlet pada masa depan berdasarkan model pembelajaran dan pengumpulan data diperoleh.

“AI mampu beri data menyeluruh dari segi prestasi atlet baik dalam kejohanan mahupun latihan, risiko kecederaan selain membuat perbandingan dengan atlet dari luar negara,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata data tersebut diperoleh daripada pemakaian peranti berteknologi tinggi seperti jam pintar mahupun ves sistem kedudukan sejagat (GPS) pada badan atlet.

Menyedari kepentingan teknologi AI, bekas Timbalan Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) itu berkata beliau bersama pasukannya di UPM telah membangunkan projek perintis dikenali iOS-rocks Sport Performance Analysis System sejak tahun lepas.

Selain fokus kepada prestasi atlet, beliau berkata aplikasi tersebut menyediakan maklumat berkaitan pergerakan, memantau kadar denyutan jantung hingga corak tidur atlet.

“Kami telah bekerjasama dengan sebuah kelab bola sepak kanak-kanak dan respons diberikan amat positif serta sedikit sebanyak bantu tingkatkan permainan mereka,” katanya.

Shamala berkata pengumpulan data berkenaan amat penting dalam melahirkan jaguh dunia yang mampu menyerlah sekali gus mengharumkan nama  negara di persada dunia satu hari nanti.

Misalnya jika ada seorang atlet berbasikal trek berpotensi berusia 11 tahun, data yang ada padanya boleh digunakan untuk buat perbandingan dengan jaguh kita Datuk Mohd Azizulhasni Awang.

“Dari situ kita boleh lihat kemajuan atlet tersebut sama ada boleh pergi lebih jauh atau memerlukan bantuan secukupnya untuk melonjakkan persembahannya,” katanya.

Walaupun AI dilihat memudahkan analisis sukan, namun Shamala berkata segala-galanya tidak bermakna sekiranya data diperoleh kurang tepat selain memakan dana besar untuk membina sistem pengumpulan maklumat menerusi pengkomputeran awan.

Justeru, bekas pemain hoki wanita kebangsaan itu berharap agar mana-mana pihak khususnya pemain industri dapat bekerjasama dengan syarikat luar atau universiti tempatan bagi membuat pelaburan dalam bidang sukan yang berkait rapat dengan AI.

Beliau pada masa sama menyambut baik usaha kerajaan yang kini melakukan pelbagai inisiatif dalam memacu perkembangan AI di Malaysia sekali gus mampu memberi faedah besar kepada kemajuan sukan negara.

Shamala juga optimis pelaburan dari syarikat gergasi teknologi yang memfokuskan kepada pengkomputeran awan seperti Google, Nvidia dan Amazon Web Services, mampu mengoptimumkan kos menyimpan data diperlukan sekali gus menggalakkan lebih banyak pihak untuk bekerjasama dalam membangun data berkaitan sukan tanah air.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy