AM

Unjuran Semasa Pasaran Global Buluh Buka Peluang Kepada Sarawak 

20/11/2024 03:08 PM

KUCHING, 20 Nov (Bernama) -- Sarawak memiliki peluang besar untuk meneroka industri buluh berdasarkan unjuran pertumbuhan pasaran global semasa, kata Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Beliau yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar II Sarawak berkata berdasarkan Bamboo Global Market Report 2024, saiz pasaran buluh global dijangka meningkat daripada US$70.59 bilion pada 2023 kepada US$75.12 bilion tahun ini.

"Industri buluh mempunyai potensi besar dan komuniti tempatan perlu mengambil peluang ini," kata beliau semasa menggulung perbahasan Belanjawan Sarawak 2025 untuk kementeriannya di Persidangan Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.

Beliau berkata setakat ini, Lembaga Perindustrian Kayu Sarawak (PUSAKA) bersama kerjasama pihak swasta mensasarkan pembangunan 10,000 hektar ladang buluh. 

“Setakat September lepas, sebanyak 3,900 hektar telah ditanam dengan pelbagai spesies buluh oleh 12 entiti komersial dan 33 komuniti yang berdaftar dengan PUSAKA,” katanya.

Awang Tengah berkata pihak swasta turut digalakkan untuk terlibat secara aktif dalam penanaman buluh, termasuk membenarkan pemegang Lesen Ladang Hutan (LPF) untuk memanfaatkan kawasan tertentu dengan tanaman buluh mengikut kesesuaian tanah.

Beliau berkata pelbagai produk boleh dihasilkan daripada buluh, antaranya biochar, perabot, pulpa dan kertas, makanan, kosmetik, tekstil serta kraftangan. 

“Sebagai bahan mesra alam, buluh mampu menggantikan penggunaan plastik, menyerap karbon, mengurangkan pencemaran udara, mengawal hakisan tanah serta memulihkan kawasan terosot untuk habitat fauna,” katanya.

PUSAKA juga telah memeterai beberapa Memorandum Persefahaman (MoU) dengan pelbagai pihak dari dalam dan luar negeri bagi memperkukuhkan industri ini, kata Awang Tengah.

-- BERNAMA=

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy