AM

Santuni MADANI JAPEN Di SMK Seri Medan Batu Pahat Fokus Aspek Pembangunan Sahsiah Pelajar

20/11/2024 03:51 PM

BATU PAHAT, 20  Nov (Bernama) -- Program Satu Pemimpin Satu Kampung atau dikenali sebagai Santuni MADANI di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Medan, Batu Pahat memfokuskan kepada aspek pembangunan sahsiah dan jati diri pelajar. 

Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) Julina Johan berkata program yang dilaksanakan dengan nama 'Skillbox Santuni MADANI @SMK Seri Medan' merangkumi bidang pendidikan, kesihatan, patriotisme dan keselamatan ini sekali gus dapat memperkaya sikap cakna pemimpin selain memberikan peluang untuk berbakti kepada penduduk kampung kelahiran, tempat membesar masing-masing atau kampung pemimpin itu sendiri. 

Julina berkata JAPEN memilih untuk mendekati pelajar sekolah menengah khususnya ahli Kelab Malaysiaku dalam usaha mendukung hasrat kerajaan ke arah melahirkan generasi masa hadapan yang terdidik, bersahsiah terpuji serta mempunyai semangat patriotisme berpaksikan enam teras Malaysia MADANI.

"Kampung Seri Medan merupakan kampung kelahiran saya dan SMK Seri Medan ialah tempat saya belajar, jadi ia adalah program permulaan yang diluluskan Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM).

"Di bawah santuni MADANI ini terdapat beberapa kluster dan salah satunya adalah kluster sosial, jadi saya mengambil pendekatan SMK Seri Medan sebagai permulaan dari aspek pengajaran dan pembelajaran,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Skillbox MADANI @SMK Seri Medan di SMK Seri Medan di sini hari ini.

Beliau menambah inisiatif ini juga bermatlamat untuk meningkatkan potensi kampung dan keupayaan masyarakat melalui pemantauan secara langsung serta libat urus bagi mengenal pasti masalah sosioekonomi dan keperluan penduduk di kampung berkenaan.

"Insya-Allah pada tahun 2025 kita akan cuba rancang beberapa program... kita akan luaskan juga pelaksanaannya memandangkan komuniti di sini agak besar, jadi kita akan tengok apa-apa yang boleh kita bantu dalam apa-apa isu berdasarkan aktiviti teras yang kita laksanakan.

"Program kali ini berbeza apabila (pendekatan) ia bergantung kepada kreativiti ketua perkhidmatan itu sendiri mengikut kampung mana yang dipilih, bukan satu program yang standard dan sama sahaja di setiap kampung," katanya. 

Program selama satu hari ini bermula 8.30 pagi hingga 1.30 tengah hari dihadiri seramai 800 orang pelajar (SMK) Seri Medan itu dimeriahkan dengan  pelbagai aktiviti termasuk persembahan daripada artis PENTARAMA, kuiz Kahoot! MADANI dan ceramah ilmiah.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy