AM

Genap Dua Tahun Pimpin Kerajaan MADANI, PM Anwar Fokus Teruskan Agenda Negara - Fahmi

20/11/2024 05:12 PM

PUTRAJAYA, 20 Nov (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang genap dua tahun menerajui kerajaan pada 24 Nov ini meneruskan agenda negara dengan mengadakan lawatan kerja ke Korea Selatan, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata, lawatan itu penting bagi memastikan kerjasama strategik antara kedua-dua negara dapat terus diperkukuhkan.

“Pada 24 Nov Perdana Menteri akan ke Korea Selatan bagi lawatan rasmi untuk tujuan perdagangan dua hala serta mengadakan beberapa pertukaran memorandum persefahaman (MoU),” katanya selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi, di sini, hari ini.

Fahmi berkata selain memperkukuh hubungan perdagangan antara Malaysia dan Korea Selatan, Perdana Menteri akan turut menyaksikan pemeteraian beberapa MoU melibatkan kementerian serta agensi termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Sementara itu, beliau berkata sempena dua tahun pemerintahan kerajaan MADANI, Program Dua Tahun Kerajaan MADANI (2TM) dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam Tahun 2024 bakal dianjurkan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 22 hingga 24 Nov ini.

Fahmi berkata Anwar dijangka menyempurnakan program anjuran Pejabat Perdana Menteri menerusi Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) bersama Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) pada 11 pagi, 23 Nov.

Mengulas mengenai lawatan kerja rasmi Perdana Menteri ke Peru dan Brazil baru-baru ini, beliau menyifatkannya sebagai lawatan yang sangat signifikan.

“Di Peru, Perdana Menteri turut menerima penghormatan tertinggi daripada kerajaan Peru iaitu '”Order of the Sun of Peru" atau "El Sol del Peru". Lawatan ini juga membuka peluang besar untuk perdagangan produk halal di Amerika Selatan," katanya.

Fahmi berkata pengumuman kerjasama Malaysia dengan Brazil untuk menangani isu keterjaminan makanan juga dijangka membuka ruang kepada syarikat tempatan untuk terlibat dalam sektor strategik tersebut.

“Namun, kita akan menunggu maklumat lanjut selepas laporan lawatan ini dibentangkan kepada Kabinet pada Jumaat ini,” katanya.

Menyentuh perjalanan politik negara sejak dua tahun lalu, Fahmi berkata situasi politik pada November 2022 memperlihatkan bagaimana Malaysia sekali lagi membuktikan bahawa peralihan kuasa dapat berlaku secara aman walaupun dalam keadaan kompleks.

“Selepas PRU Ke-15 (19 Nov, 2022), tiada parti memiliki majoriti jelas untuk membentuk kerajaan. Namun, dalam tempoh empat hingga lima hari yang penuh bersejarah, kita berjaya membentuk Kerajaan Perpaduan yang stabil,” katanya.

Fahmi berkata dalam tempoh dua tahun pentadbiran Kerajaan MADANI, Malaysia mencatatkan pencapaian ekonomi yang memberangsangkan, termasuk pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 5.3 peratus pada suku ketiga 2024 serta kadar inflasi yang rendah pada 1.9 peratus.

Selain itu, penjawat awam bakal menikmati kenaikan gaji bermula Disember ini, manakala sektor swasta akan mendapat manfaat daripada pelaksanaan dasar gaji progresif yang turut diumumkan.

Fahmi berkata jadual kerja Perdana Menteri selama ini mencerminkan dedikasi beliau terhadap tanggungjawab negara.

“Beliau bekerja dari subuh hingga tengah malam...tiada masa untuk aktiviti peribadi, hanya fokus kepada pertemuan dan mesyuarat. Ini bukan masa untuk diraikan, tetapi masa untuk kita tingkatkan semangat dan komitmen demi menyelesaikan masalah rakyat,” katanya.

Anwar selamat tiba di tanah air hari ini selepas mengadakan lawatan ke empat negara iaitu Mesir, Arab Saudi, Peru dan Brazil bermula 9 Nov lepas hingga semalam. Pesawat yang membawa Anwar tiba di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini pada kira-kira pukul 11.40 pagi.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy