AM

Jabatan Perikanan Teroka Pasaran Baharu Ikan Hiasan

20/11/2024 07:18 PM

GEORGE TOWN, 20 Nov (Bernama) -- Jabatan Perikanan akan meneroka pasaran baharu ikan hiasan iaitu ke Eropah, Timur Tengah dan China susulan potensi besar industri itu kepada ekonomi negara.

Ketua Pengarahnya Datuk Adnan Hussain berkata pihaknya terus komited dalam menyokong industri ikan hiasan dan membantu penternak tempatan mencapai kejayaan di pasaran global.

Beliau berkata ketika ini ikan hiasan Malaysia seperti ikan tropika antaranya arowana dan gapi banyak dieksport ke Singapura selain Hong Kong dan Taiwan.

"Ikan-ikan hiasan dari negara ini memang ada permintaan daripada peminatnya di luar negara sebab warnanya yang cantik, namun jumlahnya masih kecil, disebabkan itu kita mesti dapatkan laluan baharu untuk luaskan pemasaran ikan hiasan negara ini," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Adnan ditemui selepas merasmikan Majlis Peluncuran Wajah Baharu Akuarium Tunku Abdul Rahman (AkuaTAR) di Institut Penyelidikan Perikanan (IPP) di Batu Maung dekat sini hari ini.

Beliau berkata Jabatan Perikanan merancang untuk meningkatkan pengeluaran ikan hiasan sebanyak lima peratus menjelang 2030 berbanding 241.8 juta ekor pada 2023.

Sementara itu, Adnan berkata AkuaTAR kini tampil dengan wajah baharu selepas menjalani proses baik pulih dengan keutamaan kepada pendidikan serta kesedaran alam sekitar.

Beliau berkata akuarium itu menawarkan pengalaman yang lebih interaktif serta pameran baharu yang menumpukan kepada ekosistem marin Malaysia termasuk spesies terancam dan usaha pemuliharaan yang dijalankan jabatan itu.

"AkuaTAR kini menempatkan hampir 123 spesies ikan dalam 19 tangki air tawar, enam tangki ikan larangan import, 26 tangki ikan marin, lapan tangki tumbuhan akuatik dan pelbagai spesimen awet dan empat kolam sentuh," katanya.

Beliau menambah matlamat utama AkuaTAR pada 2025 adalah untuk memperoleh "Malaysian Tourism Quality Assurance" daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bagi menjadi destinasi utama Tahun Melawat Malaysia 2026.

-- BERNAMA

 

 

 

 

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy