AM

Keciciran Pelajar Sekolah Menengah Di Terengganu Membimbangkan-Exco

20/11/2024 07:50 PM

KUALA TERENGGANU, 20 Nov (Bernama) -- Terengganu merekodkan seramai 581 pelajar yang tercicir di peringkat sekolah menengah pada 2023. 

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri Datuk Satiful Bahari Mamat berkata jumlah tersebut meningkat berbanding 2022 yang mencatatkan keciciran pelajar sekolah menengah seramai 203 orang.

“Kalau kira jumlah ini besar tetapi definisi tercicir ini dia tidak ambil SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) atau berhenti dari sekolah arus perdana. Boleh jadi dia pergi ke pusat tahfiz dan sebagainya,” katanya pada sesi penggulungan Belanjawan 2025 di Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman, di sini hari ini. 

Beliau berkata antara faktor keciciran pelajar di sekolah menengah yang dikesan oleh Jabatan Pendidikan Negeri adalah hilang minat pelajar untuk ke sekolah, dikenakan tindakan disiplin atau dibuang dari sekolah dan telah berkahwin. 

Lebih membimbangkan katanya, Terengganu merekodkan remaja yang hamil seramai 309 orang pada 2023 dan 275 orang pada tahun ini. 

“Kalau dia kahwin kita tidak risau sangat tetapi ada juga yang tidak kahwin. Ini merupakan sisi negatif yang kita perlu buat penambahbaikan kerana ia melibatkan generasi kita yang akan datang. Jangan makin hari makin parah,” katanya.

Sehubungan itu Satiful Bahari berkata satu penyelesaian secara holistik perlu diambil dengan semua pihak perlu memainkan peranan bagi membendung permasalahan tersebut. 

Sementara itu pada sesi sama, Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Terengganu Ariffin Deraman berkata kerajaan negeri akan menubuhkan Majlis Halal Terengganu yang antara lain bagi memudahkan proses pensijilan halal bagi semua peringkat industri termasuk Industri Kecil dan Sederhana (IKS) dan perusahaan kecil, dengan pendekatan mesra usahawan.

Majlis Halal Terengganu juga akan mengukuhkan jenama halal dari negeri ini di dalam dan luar negara, selain ia akan menyelaras perancangan dan pelaksanaan dasar halal negeri melalui penglibatan pelbagai pihak berkepentingan, katanya.

“Majlis ini akan menggerakkan kerjasama pelbagai agensi strategik termasuk Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) sebagai peneraju utama dalam memberi bimbingan dan sokongan kepada usahawan untuk mencapai pensijilan halal,” katanya.

Ariffin menambah setakat ini terdapat hanya 330 pemegang sijil Halal di Terengganu dan bagi memastikan jumlah tersebut meningkat, kerajaan negeri sedang bekerjasama dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Terengganu (JHEAT) dan agensi Persekutuan seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

-- BERNAMA

 

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy