AM

Gudang Makanan Selangor Dijangka Siap Tiga Tahun Lagi - Exco

20/11/2024 08:40 PM

SHAH ALAM, 20 Nov (Bernama) -- Kerajaan Selangor menyasarkan dapat menyiapkan pembinaan Gudang Makanan Selangor dalam tempoh tiga tahun lagi, kata Exco Infrastruktur dan Pertanian negeri Ir Izham Hashim.

Izham berkata gudang yang akan dibina atas tanah berkeluasan empat hektar (10 ekar) di Kuala Selangor itu kini dalam proses pertukaran zon tanah dengan pihak berkuasa tempatan sebelum permintaan untuk cadangan (RFP) boleh dilakukan.

Beliau berkata pembinaan gudang itu merupakan antara inisiatif untuk memperkukuh keterjaminan makanan di negeri berkenaan.

“Gudang Makanan Selangor ini telah diumumkan oleh Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari pada belanjawan negeri yang lepas (2024) dan kita telah pun melaksanakannya secara berfasa.

“Sementara fasiliti atau gudang kekal siap dibina, kita telah melaksanakan fasa pertama dengan menyewa beberapa tempat seperti beras di Sekinchan, daging di Pelabuhan Klang serta ayam dan ikan di pasar borong di Puchong,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) dan Allanasons Private Limited di sini hari ini. 

Izham berkata MoU berkenaan membabitkan pembekalan 1,000 metrik tan daging oleh Allanasons Private Limited ke kemudahan penyimpanan sementara di Pelabuhan Klang yang dijangka mampu menampung keperluan penduduk Selangor selama sebulan.

Beliau berkata kerjasama itu akan ditingkatkan dari semasa ke semasa dengan sasaran memastikan bekalan daging bertahan sehingga tiga bulan.

“Daging ini diperlukan untuk jualan seperti di Jualan Ehsan Rahmah (JER) atau di Ehsan Mart, dan kita akan audit di tempat-tempat ini untuk memastikan jumlah di gudang terus berada pada tahap yang optimum," katanya. 

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy