KUALA LUMPUR, 20 Nov (Bernama) -- Sebanyak 45 anggota dan pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi tempoh Januari hingga September tahun ini kerana disyaki menerima suapan dan salah guna kuasa, kata Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.
Beliau berkata dalam tempoh sama 27 pegawai dan anggota pasukan tersebut telah didakwa di mahkamah atas kesalahan berkenaan dengan 13 individu telah disabitkan kesalahan.
"Bagi tempoh itu juga Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman telah membuka 1,557 kertas siasatan tatatertib dan 1,118 kertas enkuiri tatatertib terhadap anggota serta pegawai yang disyaki melanggar peraturan," katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pengiktirafan Tolak Rasuah PDRM sempena Hari Integriti peringkat pasukan berkenaan di Bukit Aman di sini hari ini.
Pada majlis itu 51 anggota dan pegawai polis menerima sijil penghargaan PDRM dan SPRM kerana mempamerkan integriti tinggi menolak rasuah.
Dalam pada itu, Ayob Khan turut mengingatkan barisan kepimpinan PDRM di semua peringkat untuk mengambil tindakan tegas ke atas semua pegawai dan anggota yang terlibat dalam sebarang aktiviti rasuah dan salah guna kuasa tanpa mengira pangkat dan jawatan.
"Jangan kita sebagai pemimpin hanya mengambil tindakan ke atas pegawai polis berpangkat rendah sahaja manakala tiada tindakan diambil terhadap pegawai polis berpangkat tinggi.
"Jangan ada amalan dwistandard dalam mengambil tindakan terhadap pegawai dan anggota polis yang terlibat dalam salah laku," katanya.
Beliau berkata barisan kepimpinan di semua peringkat wajib menunjukkan teladan yang baik kerana mereka sentiasa diperhatikan dan dinilai bukan hanya oleh pegawai serta anggota bawahan malah masyarakat umum.
-- BERNAMA