AM

Polis Anjur Makan Malam Amal 28 Dis Ini, Tampil Artis Terkenal

20/11/2024 10:44 PM

KUALA LUMPUR, 20 Nov (Bernama) -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Melaka akan menganjurkan Majlis Makan Malam Amal Blue Serenade Charity Dinner Live With PDRM Orchestra di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) pada 28 Dis ini. 

Program yang dianjurkan bersempena dengan Tahun Melawat Melaka 2024 itu akan menampilkan persembahan artis terkenal tanah air antaranya Datuk Jamal Abdillah, Ziana Zain, Ella dan Jo Branko sambil diiringi 75 pemuzik Orkestra PDRM. 

Pengarah Pengurusan Bukit Aman Datuk Seri Azmi Abu Kassim berkata penganjuran program berkenaan bertujuan mengutip dana bagi memperkukuh kewangan tabung kebajikan polis, di samping merapatkan lagi hubungan antara PDRM dengan masyarakat. 

“Dana yang dikumpulkan daripada penganjuran majlis ini akan kita gunakan antaranya untuk membaiki dan memperbaharu alatan muzik milik pasukan pancaragam PDRM.

“Selain itu, dana berkenaan juga akan disalurkan untuk kegunaan kebajikan warga PDRM khususnya bagi mereka yang terkesan dan rumah mereka terjejas akibat banjir,” katanya pada sidang media Majlis Makan Malam Amal itu di Bukit Aman di sini hari ini. 

Azmi berkata selain persembahan orkestra dan artis pada malam itu, orang ramai juga berpeluang mengunjungi karnival kepolisan komuniti pada sebelah pagi yang menyediakan pelbagai aktiviti seperti reruai pameran dan jualan, kaunter diskaun saman trafik serta bertemu dan bersalaman dengan pucuk pimpinan PDRM. 

Majlis berkenaan dijadualkan turut dihadiri Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain. 

-- BERNAMA

 

 

 


 

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy