RENCANA

Sambutan jubli Mutiara: ASWARA Terus Martabat Seni Budaya Dan Warisan Negara

21/11/2024 10:30 AM

Tahun ini genap tiga dekad penubuhan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) sebagai sebuah institusi pengajian tinggi di bawah naungan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

Bermula pada tahun 1994 sebagai Akademi Seni Kebangsaan (ASK), ASWARA bukan sekadar melahirkan seniman dan karyawan bahkan memainkan peranan penting dalam memartabatkan seni, budaya dan warisan negara. 

Nama-nama seperti Namron, Sherry Alhadad, Nad Zainal dan Amyra Rosli umpamanya, merupakan pelakon dan selebriti berbakat besar yang lahir dari akademi itu.

Menurut Rektor ASWARA Dr Tan Awang Besar, perjalanan 30 tahun ASWARA telah ‘mendewasakan’ akademi yang bermula sebagai sebuah institusi kecil sehingga menjadi terkenal serta berperanan sebagai ‘penjaga’ tradisi dan budaya di samping pada masa sama, berinovasi seiring tuntutan semasa.

 Beliau berkata, sambutan Jubli Mutiara (30 tahun) yang mengangkat tema ‘Melangkah Bersama, ke Hadapan Bersama Tradisi’, merupakan simbolik kepada perjalanan ASWARA sejak akademi itu ditubuhkan.

“ASK dahulu diwujudkan untuk mencungkil dan mengasah bakat-bakat muda dalam seni, supaya mereka dapat memasuki industri kreatif. ASWARA kini berfungsi sebagai kesinambungan kepada ASK dengan misi yang lebih besar dalam memenuhi keperluan seni budaya negara. 

“Kami membawa moto asal (‘Melangkah Bersama, ke Hadapan Bersama Tradisi’) sebagai ‘roh’ yang menghidupkan ASWARA.

“Kami di ASWARA sentiasa menjadikan Dasar Kebudayaan Negara (DAKEN) sebagai panduan dalam menentukan strategi dan pelan tindakan masa hadapan. Ini adalah landasan yang kami pegang untuk membawa ASWARA terus maju,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

 

KEUNIKAN ASWARA 

Tan yang mengambil alih tampuk pentadbiran ASWARA sejak 1 Julai lepas berkata, walaupun tempoh 30 tahun mungkin dianggap sebagai masih muda bagi mengukur kematangan dan pencapaian sesebuah institusi, hakikatnya ASWARA telah menempuh pelbagai cabaran.

“ASWARA satu-satunya institusi pendidikan seni budaya yang berada di bawah MOTAC. Ini menjadikan kami unik kerana fokus kami adalah kepada seni budaya dan warisan secara keseluruhan.

“Kami bangga dengan tanggungjawab ini dan akan terus melaksanakan amanah ini dengan sepenuh hati untuk melahirkan lebih ramai bakat baru. Banyak yang mendewasakan ASWARA, khususnya melalui bidang-bidang yang ditawarkan dari peringkat asasi hingga Doktor Falsafah (PhD),” katanya. 

Menurut Tan, melalui tawaran program pengajian sedia ada, ASWARA turut menyediakan ruang pembelajaran sepanjang hayat bagi mereka yang berminat dalam seni budaya dan warisan. 

“Kami ada tujuh fakulti termasuk teater, penulisan, animasi, multimedia, seni halus dan perfileman yang menyediakan pembelajaran komprehensif untuk pelajar. Tiga pusat pengajian yang ada memberi tumpuan khusus kepada bidang yang diajarkan di fakulti untuk memperkasakan kemahiran pelajar.

“Ramai graduan kita kini adalah pengarah, penyanyi, penulis skrip dan pelakon yang aktif dalam industri,” katanya menambah, ASWARA mendapat pujian berhubung kualiti pelajarnya sekali gus membuktikan peranan ASWARA dalam membentuk insan seni.

 

ASWARA DI PERINGKAT GLOBAL

Berkongsi inisiatif dalam menaik taraf fungsi dan peranan ASWARA ke peringkat global, Tan berkata, ASWARA menjalin kerjasama dengan beberapa institusi seni dari negara luar seperti Indonesia, Thailand dan Filipina. 

“Kami memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dan Memorandum Perjanjian (MoA) dengan institusi seni budaya dari rantau ASEAN dan yang terkini dengan Filipina. Mereka membawa pakar untuk kelas induk di ASWARA, dan ini adalah antara contoh kolaborasi yang kita jalankan,” katanya.

Beliau menambah, pelajar ASWARA yang berbakat besar dalam bidang seni halus untuk menghasilkan karya di China dan India, yang mana karya mereka bukan sahaja dihargai malah mencapai nilai puluhan ribu ringgit serta disifatkan sebagai satu pencapaian yang membanggakan untuk akademi itu secara keseluruhannya.


The special musical theater 'Sakti Merong Mahawangsa' will be held at The Kuala Lumpur Performing Arts Center (KLPac) from 22 to 24 November.

“ASWARA merancang untuk membuka pengambilan pelajar asing dari negara blok serantau ASEAN untuk program PhD pada tahun hadapan.

“Selain itu, kami komited untuk meningkatkan standard pengajaran dan kompetensi tenaga pengajar bagi memastikan pensyarah dapat memberikan pendidikan yang terbaik kepada pelajar dengan penguasaan ilmu yang tinggi. Tenaga pengajar akan didorong untuk aktif dalam penulisan dan pembentangan kertas kerja di persidangan antarabangsa yang memberi mereka pengalaman dan pengetahuan baru.

“Pada masa akan datang, semua pensyarah akan memiliki sekurang-kurangnya kelayakan Sarjana, dan kita juga akan memberi pengiktirafan kepada mereka yang layak dengan gelaran Prof Madya atau Profesor,” katanya menambah, usaha itu bagi memastikan pensyarah ASWARA sentiasa relevan dengan perkembangan terkini dan dapat membawa pulang ilmu yang lebih bermanfaat untuk pelajar.

 

TEATER SAKTI MERONG MAHAWANGSA         

Bersempena sambutan Jubli Mutiara itu juga, ASWARA akan menghidupkan kembali sebuah epik legenda agung melalui pementasan teater muzikal khas Sakti Merong Mahawangsa, sebuah karya yang dijangka menjadi sejarah dalam dunia persembahan seni teater tanah air.

Teater muzikal Sakti Merong Mahawangsa mengangkat kisah Merong Mahawangsa, seorang tokoh yang terkenal dengan keberanian, kecekalan dan kesetiaan dalam membina Kedah Zamin Turan (kini negeri Kedah), melibatkan gabungan alumni, pensyarah dan pelajar ASWARA.


Musical theater director Mohd Sharul Mizad Asari (seated, center) together with the President of the Aswara Alumni Association Tengku Iefizulasyrifie Putra Tengku Alaudin (seated, third, left) pose with the cast of the 'Sakti Merong Mahawangsa' theatre.

Tan berkata, naskhah itu dipilih kerana nilai epik dan kehebatan naratifnya selain dapat memangkin usaha kolaboratif melibatkan alumni yang pernah ‘dilahirkan’ ASWARA. 

“Merong Mahawangsa adalah hikayat agung yang perlu diangkat. Pementasan ini adalah satu cara kita menghidupkan warisan bangsa dalam konteks yang lebih besar dan berimpak tinggi. 

“Alumni ibarat anak kepada ASWARA dan kesinambungan hubungan ini ditunjukkan melalui kolaborasi bersama dalam projek besar seperti ini. Mereka memahami keperluan pelajar dan turut membantu dalam melahirkan pementasan yang hebat.

“Sambutan ini bukan hanya tentang masa lalu, tetapi tentang bagaimana kita membawa seni dan budaya ini ke masa hadapan. Kita tidak mahu seni dan warisan kita hanya dikenang tetapi kita mahu aspek ini juga terus hidup, dihargai dan diraikan,” katanya.

Teater muzikal itu yang akan dipentaskan di KL Performing Arts Centre (klpac) bermula 22 hingga 24 November ini dijangka mendapat sambutan luar biasa daripada peminat seni teater tanah air tanpa mengira peringkat umur.

Menghimpunkan lebih 100 bakat alumni ASWARA, ia bakal menampilkan barisan pelakon antaranya  Najua P Ramlee, Hairi Safwan, Fadhli Masoot, Aris Kadir, Fiza Thomas, Ezdianie Hayatie, Saiful Wazien, Amirul Hakim dan Reza Mohamed.

Berharap ASWARA terus menjadi institusi kecemerlangan seni budaya yang disegani di peringkat serantau dan antarabangsa, Tan menyifatkan pencapaian ASWARA adalah hasil usaha semua warganya dan cabaran utama yang perlu dihadapi ialah memastikan warisan seni budaya kekal lestari dan tidak hilang di telan zaman.

“Setiap warga ASWARA perlu mempunyai kesedaran dan tekad bahawa seni, budaya dan warisan adalah khazanah yang perlu dipelihara bersama. Seni budaya adalah milik kita bersama dan perlu dilindungi sampai bila-bila. Inilah tekad yang perlu ada dalam setiap warga ASWARA,” katanya.

 

LAHIR  BAKAT BARU

Sementara itu, alumni ASWARA yang juga pelakon teater muzikal Sakti Merong Mahawangsa, Najua P Ramlee, 37, berkongsi cabaran yang dihadapi sepanjang menjalani latihan teater berkenaan.

Watak Mak Inang dalam pementasan ini menjadi pengalaman kedua buat cucu kepada Seniman Agung  P Ramlee itu, selepas menyertai projek teater ASWARA sempena sambutan ulang tahun ke-25 sebelum ini. 


ASWARA also highlights young talent in the field of art, culture and heritage.

“Watak Mak Inang walaupun dianggap biasa, namun saya melihat ia sebagai peluang untuk mencipta sesuatu yang luar biasa. Karakter saya bukan seorang puteri, tetapi semua watak dalam sesuatu pementasan berperanan besar dan sama pentingnya. Saya sendiri mengkaji dan menghayati watak untuk jadi Mak Inang versi saya sendiri,” katanya.

Seorang lagi alumni yang juga pelakon yang sedang menempa nama Hairi Safwan, 36, pula berkata, dia berasa berbangga kerana dapat menyumbang tenaga dan bakat bersama rakan alumni yang lain.

“Saya berharap ASWARA akan terus berkembang dan terus mengangkat lebih ramai bakat baru yang berkualiti dan terbaik,” katanya yang memegang watak antagonis Garuda dalam teater muzikal itu dan telah 15 tahun bergiat aktif dalam bidang seni.

 

Disunting oleh Melati Mohd Ariff

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy