DUNIA

Pengerusi ASEAN 2025: Malaysia Fokus Isu Perubahan Iklim Sebagai Agenda Utama - Nik Nazmi

21/11/2024 11:49 AM

Daripada Samantha Chiew

BAKU (Azerbaijan), 21 Nov (Bernama) -- Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN bagi 2025 akan mengutamakan isu perubahan iklim sebagai agenda utama rantau ini, selaras dengan tema 'keterangkuman dan kelestarian', kata Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad.

Beliau berkata Malaysia, sebagai Pengerusi Bagi Kumpulan Kerja ASEAN Mengenai Perubahan Iklim (AWGCC) 2022 hingga 2025, berpeluang memperkukuh kerjasama serantau dalam menangani perubahan iklim.

"Malaysia berhasrat untuk membentangkan kenyataan bersama ASEAN mengenai perubahan iklim di Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFCCC), Persidangan Pihak-pihak ke-30 (COP30) di Brazil," katanya kepada Bernama sempena COP29, di sini hari ini.

Selain itu, Nik Nazmi berkata satu inisiatif Kerangka Karbon Bersama ASEAN (ACCF) yang dipelopori oleh sektor swasta melalui Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN-BAC) bertujuan untuk menyelaraskan piawaian kredit karbon antara negara-negara ASEAN dengan fokus kepada Thailand, Singapura, dan Indonesia.

Beliau berkata langkah itu penting untuk menggalakkan perdagangan karbon serantau dan menyokong pelaksanaan Pasaran Karbon Kebangsaan di Malaysia, selaras Pelan Hala Tuju Sumbangan Ditentukan Negara (NDC) untuk mengurangkan keamatan pelepasan gas rumah hijau (GHG) sebanyak 45 peratus menjelang 2030.

Nik Nazmi berkata ASEAN kaya dengan kepelbagaian tetapi berkongsi cabaran yang sama dalam perubahan iklim, oleh itu negara anggota yang sudah melaksanakan dasar iklim tertentu dapat dijadikan rujukan dan dilaksanakan di negara ASEAN yang lain.

Selain itu, beliau berkata inisiatif Grid Kuasa ASEAN (APG) yang dipelopori Kementerian Peralihan Tenaga Dan Transformasi Air (PETRA) juga merupakan agenda yang akan diketengahkan.

"APG ini dibincangkan 20 tahun lepas cuma sekarang dengan harga tenaga menjadi semakin tinggi dan soal perubahan iklim yang semakin mendesak maka APG menjadi semakin relevan," katanya.

Beliau berkata pengalaman di Eropah menunjukkan bahawa grid serantau menyokong penggunaan tenaga boleh baharu secara optimum, contohnya ketika angin yang banyak di Britain maka hasil tenaga itu boleh dijual ke Eropah.

"Jika kita dapat menggunakan APG boleh digunakan untuk memperdagangkan tenaga, maka ini antara perkara Malaysia akan ketengahkan memandangkan lokasinya di tengah-tengah," katanya.

Nik Nazmi berkata dasar negara yang jelas seperti Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP 2030) selain kestabilan politik akan menarik lebih banyak pelaburan hijau.

Ini kerana, beliau berkata pelabur kini lebih fokus kepada negara yang mempunyai tenaga hijau dalam pasaran kerana mereka di bawah tekanan untuk mencapai sasaran sifar bersih menjelang 2050.

Penyertaan Malaysia pada COP29 dari 11 hingga 22 Nov di Stadium Baku bertujuan mengukuhkan komitmen terhadap ekonomi hijau seperti digariskan dalam Belanjawan 2025. Sebanyak 200 delegasi Malaysia diketuai sendiri oleh Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad  

Pavilion Malaysia di COP29 bertemakan ‘Shift for Sustainability: Climate Action Now!’ diterajui oleh Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) dan dengan kerjasama Perbadanan Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim Malaysia (MGTC) sebagai agensi pelaksana.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy