KUALA LUMPUR, 21 Nov (Bernama) -- Masyarakat India berharap lebih banyak tumpuan diberikan kepada isu pemilikan ekuiti, pendidikan dan penyertaan dalam sektor awam untuk memastikan mereka terus maju di bawah kepimpinan Kerajaan Perpaduan.
Ahli Parlimen Sungai Siput Kesavan Subramaniam berkata meskipun terdapat ruang untuk penambahbaikan dalam Belanjawan 2025, masyarakat India tetap menerima manfaat ketara khususnya melalui peruntukan RM100 juta setiap tahun kepada Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA).
Menurut wakil rakyat Kerajaan Perpaduan itu, peruntukan berkenaan meliputi 14 program termasuk Program Latihan dan Penempatan Sijil Profesional Keselamatan Siber, Program Bantuan Awal Kemasukan IPT MITRA, dan subsidi dialisis MITRA.
“Selain itu, masyarakat India terus mendapat manfaat melalui inisiatif Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri R Ramanan, dengan pelaksanaan tujuh program utama termasuk Program Pemerkasaan dan Pembangunan Wanita India (PENN), Vanakkam MADANI, dan yang terbaru Persidangan Koperasi Komuniti India 2024,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam wawancara eksklusif bersama Bernama sempena sambutan dua tahun pentadbiran kerajaan MADANI di Wisma Bernama, di sini semalam.
Beliau berkata Belanjawan 2025 menawarkan pelbagai bantuan menerusi kementerian antaranya peningkatan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) yang diterima isi rumah daripada RM3,700 kepada RM4,600 mulai tahun depan, yang turut memanfaatkan masyarakat India.
“Bantuan awal persekolahan juga dinaikkan kepada RM150 bagi setiap pelajar berbanding RM100, memberikan impak positif kepada keluarga India yang memerlukan,” katanya.
Justeru, Kesavan menolak dakwaan pihak tertentu yang menyifatkan Belanjawan 2025 sebagai tidak memberi manfaat kepada masyarakat India.
“Bukan seperti didakwa. Kita akui perlu ada penambahbaikan, seperti peruntukan MITRA yang kita harap dapat ditingkatkan daripada RM100 juta setiap tahun kepada RM300 juta pada masa akan datang,” katanya.
Kesavan turut menyatakan bahawa antara isu utama sering dibangkitkan bersama Ahli Parlimen India lain ialah kadar pengambilan penjawat awam dalam kalangan masyarakat India.
"Ketika ini, kadar penyertaan masyarakat India dalam sektor awam adalah 4.5 peratus, lebih rendah berbanding 15 peratus pada 1970-an.
Beliau juga berharap Perdana Menteri mempertimbangkan penambahan kuota pengambilan pelajar India ke program matrikulasi agar lebih ramai anak muda India mendapat akses kepada pendidikan tinggi, selain memperkenalkan inisiatif untuk meningkatkan pemilikan ekuiti kaum itu kepada sekurang-kurangnya 3 peratus berbanding 1.15 peratus ketika ini.
“Saya sentiasa membangkitkan isu ini dalam sesi perbahasan. Harapan kami ialah masyarakat India diberikan lebih banyak peluang dalam program matrikulasi dan pemilikan ekuiti. Perkara ini amat penting dan sering mendapat perhatian Ahli Parlimen India,” katanya.
Kesavan turut menyeru golongan pempengaruh media sosial untuk memainkan peranan dalam menyebarluaskan maklumat berkaitan bantuan kerajaan kepada masyarakat India supaya ia sampai kepada golongan yang benar-benar memerlukan.
-- BERNAMA