AM

Qatar Hasrat Rangka Program Pembanterasan Rasuah Negara Islam Dengan Malaysia

21/11/2024 03:15 PM

KUALA LUMPUR, 21 Nov (Bernama) -- Ketegasan kerajaan memerangi kes rasuah hingga peringkat akar umbi bukan sahaja telah berjaya meningkatkan imej negara dari segi indeks persepsi rasuah tetapi turut mendapat pengiktirafan negara luar.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata hal itu dibuktikan apabila kerajaan Qatar telah meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk bekerjasama merangka program pembanterasan rasuah di negara-negara Islam.

“Kerajaan Qatar minta satu rombongan utama, menteri dan SPRM untuk bekerjasama merangka program pembanterasan rasuah di negara-negara Islam dan hal itu ditugaskan kepada SPRM,” katanya. 

Beliau berkata demikian pada Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat bagi menjawab soalan Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) berhubung tahap pencapaian kerajaan MADANI setelah mencapai usia dua tahun pemerintahan dalam melaksanakan janji antaranya usaha memerangi rasuah.

Untuk rekod, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said dijadual mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Peringkat Menteri Pihak Berkuasa Anti Rasuah Antarabangsa di Doha minggu depan.

Kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International telah meningkat pada 2023 apabila negara mencapai 50 mata pada 2023 berbanding 47 mata sebelumnya.

Sebelum ini, Presiden Transparency International-Malaysia (TI-M) Dr Muhammad Mohan berkata lonjakan itu antara lain disebabkan tindakan berterusan SPRM dan Jabatan Peguam Negara (AGC) mendakwa ahli politik berprofil tinggi selain kebebasan badan kehakiman.

Sementara itu, Anwar berkata dakwaan bahawa terdapat usaha menyekat siasatan SPRM dalam kes rasuah melibatkan golongan maha kaya dan ahli politik adalah tidak benar.

Beliau berkata walaupun SPRM berdepan cabaran dalam menguruskan kes golongan berkenaan yang memiliki ramai penyokong, namun suruhanjaya itu sentiasa meneruskan siasatan tanpa mengira status, termasuk dalam kes rasuah melibatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Sabah.

“Memang saya tahu ia tidak mudah...sukar untuk memerangi rasuah apabila melibatkan golongan maha kaya kerana ramai penyokong mereka. Tetapi saya telah diberi maklum oleh SPRM bahawa hal ini akan diteruskan termasuk isu-isu berbangkit umpamanya yang terakhir mengenai  Sabah.

“Saya dimaklumkan oleh SPRM, siasatan akan diteruskan dan ADUN  berkaitan akan dipanggil, setakat itu sahaja boleh saya maklumkan. Tetapi tidak benar sama sekali jika dikatakan ada usaha untuk mengekang dan menyekat.

“Begitu juga yang melibatkan orang kenamaan besar lain kerana seperti saya tegaskan berulangkali, negara tidak mungkin selamat kalau tidak dibenteras rasuah ke akar umbinya,” katanya. 

Sehubungan itu beliau meminta kerjasama dan sokongan semua pihak dalam menjayakan matlamat kerajaan untuk memerangi rasuah hingga peringkat akar umbi dan tidak mahu lagi wujud persepsi bahawa tindakan penguatkuasaan dan pendakwaan terhadap kes tersebut adalah bermotifkan politik.

Dalam pada itu, Anwar berkata prestasi terperinci kerajaan MADANI juga akan dimaklumkan pada Program Dua Tahun Kerajaan MADANI (2TM) yang dijadual berlangsung pada 22 hingga 24 Nov ini  di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy