EKONOMI

Nilai Aktiviti Perniagaan Malaysia Di Vietnam Melebihi US$13 Bilion - PM Anwar

21/11/2024 08:27 PM

KUALA LUMPUR, 21 Nov (Bernama) -- Aktiviti perniagaan Malaysia di Vietnam telah melebihi nilai US$13 bilion (US$1=RM4.47), kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata terdapat lebih 700 projek Malaysia di sana, didorong oleh sokongan daripada Vietnam terhadap usaha niaga antara kedua-dua negara.

“Vietnam amat menyokong usaha perniagaan kita. Ini bermakna sokongan pihak berkuasa Vietnam adalah positif dan mereka terus menyokong kita sebagai pengerusi ASEAN,” kata beliau kepada pemberita di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media bersama Setiausaha Agung Jawatankuasa Pusat Parti Komunis Vietnam To Lam di sini.

Terdahulu, Anwar mengadakan pertemuan dua hala dengan Lam, yang memulakan lawatan rasmi selama tiga hari ke Malaysia hari ini, sebagai langkah untuk meningkatkan kerjasama strategik antara kedua-dua negara.

Kedua-dua pemimpin turut menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan Agensi Promosi Perdagangan Vietnam (VIETRADE) untuk meningkatkan promosi perdagangan.

Selain itu, mereka turut menyaksikan pertukaran memorandum kerjasama antara Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dan PetroVietnam dalam bidang tenaga boleh baharu. 

Ini merupakan lawatan pertama Lam ke Malaysia sejak dipilih sebagai Ketua Parti Komunis Vietnam pada Ogos lepas. 

Sementara itu, menurut kedua-dua negara dalam satu kenyataan bersama, kesepaduan ekonomi akan diperkukuh untuk pertumbuhan mampan sebagai sumbangan kepada pembangunan dan kemakmuran bersama.

Ini termasuk menggalakkan hubungan antara kedua-dua ekonomi melalui kerjasama dan saling melengkapi serta berusaha mencapai sasaran perdagangan dua hala sebanyak US$18 bilion atau lebih, ke arah keseimbangan dan manfaat bersama.

Selain itu, Malaysia dan Vietnam turut bersetuju untuk bertukar maklumat mengenai peraturan dan dasar yang berkaitan dengan potensi import dan eksport masing-masing, memperkukuh kerjasama dalam membangunkan industri halal serta menggalakkan perniagaan meningkatkan pelaburan di pasaran negara lain.

Mereka juga merancang untuk memastikan manfaat bersama daripada kerjasama dalam minyak dan gas serta mempertimbangkan untuk mewujudkan mekanisme bagi membangunkan kerjasama secara bersama dalam bidang yang mempunyai persamaan, jika ada, menurut kenyataan itu.

Tahun lepas, Vietnam disenaraikan sebagai rakan dagangan ke-11 terbesar Malaysia di peringkat global dan keempat terbesar dalam kalangan ASEAN.

Perdagangan dua hala antara Malaysia dan Vietnam berjumlah RM80 billion, dengan eksport dari Malaysia ke Vietnam bernilai RM52 bilion.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy