AM

Pegawai Kadet UPNM Didakwa Cederakan Junior, Pijak Perut Dengan Spike Boot

22/11/2024 01:10 PM

KUALA LUMPUR, 22 Nov (Bernama) --  Seorang pegawai kadet Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mencederakan juniornya dengan cara memijak perut mangsa dengan spike boot, bulan lepas.

Mohd Adil Mat Awang Ghani, 22, didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Muhammad Haziq Iqbal Ahmad Rashidi, 19, apabila memijak perut mangsa semasa berada di padang kawad akademi berkenaan di UPNM, Kem Sungai Besi, Cheras di sini pada 10.45 malam, 21 Okt.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda hingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah, Mohd Adil menjawab: "Faham puan, tidak (mengaku salah) puan".

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Sabri Othman menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tertuduh tidak mendekati pengadu, mangsa dan saksi-saksi pendakwaan yang terdiri daripada pegawai dan jurulatih UPNM serta rakan pelatih kadet tertuduh.

Bagaimanapun peguam Nurul Diyana Basher dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) yang mewakili tertuduh memohon jaminan rendah dengan alasan anak guamnya sudah tamat belajar, namun masih lagi menjalani latihan ketenteraan.

“Pihak kami (pembelaan) tidak membantah syarat tambahan yang dikemukakan pendakwaan, bagaimanapun syarat ketat akan memberi kesan kepada anak guam saya sepanjang tempoh latihan,” kata peguam itu.

Majistret Noorelynna Hanim Abd Halim membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan yang dipohon pihak pendakwaan dan menetapkan 10 Feb depan untuk serahan dokumen.

Prosiding hari ini turut dihadiri ahli keluarga tertuduh.

Terdahulu tertuduh yang memakai kemeja putih lengan panjang dan berjaket hitam tiba di mahkamah pada 9.20 pagi diiringi beberapa anggota polis. 

Pada 10 Nov lepas, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa dalam kenyataan memaklumkan mangsa berusia 19 tahun mengalami keretakan pada tulang rusuk dan tulang belakang selepas dicederakan seorang penuntut senior tahun tiga.

-- BERNAMA

 

 

 

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy