AM

Kajian Pelan Induk Mobiliti Selangor Di Peringkat Akhir Penyediaan

22/11/2024 02:15 PM

SHAH ALAM, 22 Nov (Bernama) -- Kajian Pelan Induk Mobiliti Negeri Selangor yang menumpukan kepada keperluan menyeluruh jaringan pengangkutan awam kini dalam peringkat akhir penyediaan, persidangan Dewan Undangan Negeri Selangor diberitahu hari ini.

Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti negeri Ng Sze Han berkata pelan pengangkutan awam komprehensif itu memberi tumpuan kepada pembangunan dan penyediaan perkhidmatan jaringan pengangkutan yang menyeluruh dan memenuhi keperluan rangkaian ‘First Mile, Last Mile’.

Beliau berkata pelan itu tidak hanya melibatkan mod pengangkutan seperti bas, rel, teksi atau e-panggilan sahaja, sebaliknya turut mencakupi infrastruktur lain termasuk perhentian bas, mikromobiliti, e-skuter dan laluan pejalan kaki.

"Pelan ini antara usaha kerajaan negeri bagi menambah baik infrastruktur dan kesalinghubungan rangkaian pengangkutan awam di Selangor untuk mencapai sasaran 60 peratus penggunaan menjelang 2035.

“Berdasarkan data terkini, purata penggunaan harian pengangkutan awam di Selangor sekitar 1.1 juta penumpang termasuk perkhidmatan dikendalikan Prasarana Malaysia Berhad,” katanya menjawab pertanyaan Michelle Ng Mei Sze (PH-Subang Jaya) yang ingin tahu mengenai strategi blueprint pengangkutan awam di Selangor.

Mengulas lanjut, Ng berkata pihaknya menerusi Jabatan Teknikal telah mengadakan bengkel dan perbincangan dengan semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor pada Ogos lepas bagi membincangkan terma rujukan untuk memastikan kajian itu dilaksanakan secara menyeluruh.

Kajian itu, antara lain perlu mengambil kira dasar, strategi dan garis panduan berkaitan sama ada di peringkat negeri, negara serta antarabangsa selain memberi penekanan terhadap isu-isu pengangkutan awam yang dihadapi oleh setiap PBT.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy