AM

MTL: Wanita Tahan Sakit Gout Berdiri Enam Jam Dalam Bah

23/11/2024 04:25 PM

BACHOK, 23 Nov (Bernama) -- Seorang wanita yang menghidap penyakit gout terpaksa berdiri dalam air selama enam jam sebelum diselamatkan petugas Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) Kelantan yang membawanya ke pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Beris Panchor, di sini.

Mazlina Mohamed, 45, berkata semalam rumahnya dinaiki air separas hampir satu meter dari 7 pagi dan diselamatkan pada 3 petang.

"Saya terpaksa berdiri dan menahan kesakitan dalam air memandangkan kami sekeluarga baru berpindah di rumah sewa itu dua bulan lepas dan belum ada sofa atau perabot.

"Ini adalah pengalaman kali pertama kami berpindah ke PPS kerana banjir dan tetap menyewa di situ biarpun tahu kawasannya banjir memandangkan hanya itu sahaja pilihan yang ada, malah sewa adalah murah RM300 sebulan," katanya ketika ditemui di PPS SMK Beris Panchor, di sini hari ini.

Dia bersama suami, Mohd Riduan Harun, 45, dan anaknya perempuannya Aliya Maisarah Mohd Riduan, 19, berpindah ke PPS itu setelah mendapat arahan daripada pihak berkuasa dan diberi rawatan oleh pusat kesihatan daerah. 

Sementara itu, Yasmin Syafiqah Anuar, 29, menceritakan pengalaman pertama mengalami banjir dan berpindah ke PPS setelah tidak lena tidur pada malamnya apabila kawasan tali air dan sawah padi mula dipenuhi air.

"Saya baru berpindah di perumahan Kampung Budi sejak empat bulan lalu dan tidak tahu di situ kawasan banjir, jadi saya mengemas barang dengan mengangkatnya ke tempat lebih tinggi.

"Pada jam 8 pagi, setelah air naik separas hampir satu meter, kami sekeluarga diarahkan berpindah oleh pihak berkuasa dan dibawa petugas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ke PPS ini," katanya yang berpindah ke PPS bersama suami Mohd Junaidi Mohd Ikbal, 33, yang bekerja dengan pihak berkuasa tempatan di Kota Bharu dan tiga orang anak mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Jajahan Bachok Syamsul Abu Bakar berkata seramai 40 mangsa banjir melibatkan 11 keluarga dipindahkan ke PPS berkenaan semalam.

"Penghuni PPS diberi kemudahan dan kelengkapan yang cukup antaranya collapsible tent (khemah biru) kepada satu keluarga, bagaimanapun jika ahli keluarganya ramai, kami menyediakan kemudahan tambahan bagi memberi keselesaan.

"Selain itu, sebaik sahaja mangsa berpindah di PPS, mereka diberikan makanan retort iaitu makanan segera sedia yang telah disterilkan manakala kami bergotong-royong memasak nasi di tempat khas untuk memberikan makanan tiga kali sehari kepada penghuni," katanya.

Beliau yang juga Ketua Jajahan Bachok berkata menerusi kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) diketuai Pegawai JKM Jajahan Bachok Zulfikri Abd Wahab, mangsa turut menerima bantuan seperti biskut, air kotak, selimut, tuala, dan kit kebersihan.

Katanya penghuni PPS dijaga dan disantuni petugas daripada beberapa agensi termasuk JKM, ATM, APM dan PKD melibatkan kira-kira 15 petugas.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy