AM

Penduduk Kampung Bina Titian Mudahkan Pergerakan Musim MTL

23/11/2024 07:33 PM

PASIR MAS, 23 Nov (Bernama) -- Sebahagian penduduk di Kampung Terusan, Rantau Panjang di sini membina titian bagi menghubungkan kediaman masing-masing ke jalan utama sebagai persiapan awal menghadapi musim tengkujuh.

Penduduk kampung berkenaan Ab Rahman Awang Senik, 68, berkata pembinaan titian menjadi kelaziman masyarakat di kawasan itu kerana hampir setiap tahun perkampungan tersebut dilanda banjir berikutan kedudukan rumah lebih rendah dari jalan.

"Biasanya titian ini dibuat penduduk yang tinggal kira-kira lima hingga 10 meter dari jalan manakala penduduk yang tinggal lebih jauh bergantung sepenuhnya kepada perahu atau bot.

"Saya bina titian ini bagi memudahkan isteri dan anak-anak keluar membeli barangan keperluan atau urusan lain tanpa perlu meredah banjir," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Bagaimanapun, menurut Ab Rahman jika paras air melebihi dua meter mereka perlu menggunakan perahu kerana titian dibina daripada kayu terpakai dan tong tangki air itu akan tenggelam atau dihanyutkan arus banjir.

Ab Rahman berkata setiap tahun penduduk akan berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) kerana kawasan itu dilanda banjir hingga paras bumbung.

"Persiapan mengikut kemampuan masing-masing termasuk membina titian selain memindahkan kenderaan dan haiwan ternakan ke kawasan lebih tinggi," katanya.

 Seorang lagi penduduk Anis Suraya Ab Rahman, 22, berkata kemudahan titian dibina sepanjang kira-kira enam meter di hadapan rumah bagi memudahkan ibunya, Ramlah Muhammad, 68 yang mengalami sakit sendi dan lutut.

Beliau berkata penggunaan perahu kurang sesuai memandangkan keadaan ibunya yang mengalami kesukaran untuk bergerak.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy