TAMPIN, 23 Nov (Bernama) -- Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Rumah Terbuka Deepavali peringkat negeri di Dewan Arena Tampin, di sini hari ini.
Turut berangkat Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud bersama putera baginda, Tunku Zain Al-’Abidin.
Keberangkatan tiba baginda disambut Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun.
Aminuddin ketika ditemui berkata pihaknya berterima kasih kepada kira-kira 6,000 pengunjung terdiri daripada masyarakat berbilang bangsa yang memeriahkan sambutan itu bermula tengah hari tadi.
"Program ini dapat merapatkan hubungan antara pemimpin dan masyarakat. Sambutan diberi oleh masyarakat setempat sangat baik dan pelbagai juadah lazat berasaskan makanan tradisional masyarakat India disediakan kepada pengunjung," katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Lebih 20 juadah disediakan antaranya capati, roti canai, kari kambing, puri, sate, putu mayam dan nasi beriani manakala majlis turut diserikan dengan persembahan artis tempatan, tarian dan nyanyian.
Sumbangan duit raya turut disampaikan kepada lebih 200 kanak-kanak yang hadir.
Seorang pengunjung, Mazlina Jaafar, 42, dari Taman Indah Tampin berkata dia teruja untuk menghadiri sambutan itu bersama dua anaknya kerana ia dapat merapatkan ukhuwah dalam kalangan masyarakat.
-- BERNAMA