SUKAN

EAM Bakal Anjur Kejohanan Sebagai Kelayakan Ke Sukan SEA Thailand 2025

23/11/2024 08:30 PM

KUALA LUMPUR, 23 Nov (Bernama) -- Persatuan Ekuestrian Malaysia (EAM) akan menganjurkan beberapa kejohanan utama bermula Januari atau Februari tahun hadapan sebagai pusingan kelayakan bagi mencari wakil negara ke Sukan SEA Thailand 2025.

Presiden EAM Syed Omar Syed Abu Bakar AlMohdzar berkata kejohanan itu terbuka kepada semua peserta sama ada junior atau senior kerana kedua-dua peringkat umur itu pasti tampil dengan semangat tersendiri.

Syed Omar berkata atlet senior akan membawa pengalaman dan rekod pencapaian, manakala atlet junior pula hadir dengan semangat dan tenaga untuk mencapai keputusan cemerlang.

“Kami akan memulakan pusingan kelayakan pada Januari atau Februari dengan enam daripada 10 kejohanan dikhaskan untuk penunggang tempatan menggunakan sistem pemarkahan bagi memastikan keadilan kepada semua, termasuk atlet Malaysia berpangkalan di luar negara.

“Kita punya masa tamat untuk pusingan kelayakan mungkin dalam Julai atau Ogos tahun depan. Bagi saya, Sukan SEA adalah batu loncatan untuk penunggang melayakkan diri ke pentas lebih besar seperti Sukan Asia dan lain-lain,” katanya kepada pemberita selepas Kejohanan Ekuestrian Premier Cup CSI1 yang berlangsung di sini hari ini. 

Syed Omar memaklumkan Thailand hanya akan mempertandingkan tiga kategori sukan ekuestrian iaitu dressage, show jumping dan eventing dengan setiap kategori membolehkan penyertaan sehingga empat atlet negara.

Namun beliau mengakui Malaysia perlu merangka strategi terbaik memandangkan sukan berkenaan kali terakhir dipertandingkan adalah pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Sementara itu, Farah Aisya Nabeeha Jamalolail, 18, yang turut bersaing dalam Kejohanan Ekuestrian Premier Cup CSI1 berharap untuk dipilih menyertai Sukan SEA buat pertama kalinya di Thailand.

“Waktu ini saya menyertai apa sahaja pertandingan CSI, FEI yang boleh disertai. Sekarang, saya melakukan segala yang boleh bagi kelayakan ini dan untuk mempersiapkan diri serta kuda saya. 

“Kecergasan dan kemudiannya semua perkara yang seorang atlet perlu lakukan seperti menjaga keadaan diri dan juga kuda,” katanya yang berminat menyertai kategori eventing. 

-- BERNAMA 

 

 

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy