EKONOMI

Rackson Group Bakal Ubah Landskap Bayan Lepas Dengan Projek GDV Bernilai RM1.5 Bilion

23/11/2024 08:50 PM

GEORGE TOWN, 23 Nov (Bernama) -- Rackson Group melancarkan projek dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM1.5 bilion di Bayan Lepas, terdiri daripada hotel Le Meridien Penang Airport dan pangsapuri berperkhidmatan Avion.

Dijadualkan siap pada suku keempat 2027, projek berkenaan dijangka mengubah landskap berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA), dengan pemandangan bangunan pencakar langit ikoniknya sebaik tiba di lapangan terbang tersebut.

"Projek ini direka untuk memenuhi keperluan tujuh hingga lapan juta penumpang yang mendarat di lapangan terbang ini setiap tahun, penumpang transit, lebih 300 syarikat multinasional, pelancong tempatan, dan pembangunan yang sedang berkembang di selatan Pulau Pinang, termasuk Pulau Silikon," kata Ketua Pegawai Eksekutif Rackson Group Kelvin Lor pada majlis pecah tanah projek itu di Bayan Lepas.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow merasmikan majlis itu yang turut dihadiri Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong.

Lor berkata hotel Le Meridien Penang Airport akan mentakrifkan semula layanan serba mewah, kerana ia dilengkapi 200 bilik tetamu termasuk Suit Presiden, dewan yang boleh memuatkan 300 orang, kolam renang infiniti, ruang makan yang dibuka sepanjang hari, dan kemudahan bertaraf dunia yang direka untuk pengembara perniagaan dan percutian.

Pangsapuri Avion pula akan menampilkan 608 unit yang mempunyai sama ada satu, dua dan tiga bilik tidur untuk disesuaikan dengan gaya hidup yang pelbagai.

"Ia juga dilengkapi dengan kemudahan premium, termasuk kolam renang infiniti dengan pemandangan panoramik, dewan serbaguna, gimnasium tercanggih, dan ruang rehat. Selain itu, sistem akses berkad dan pengawasan 24 jam untuk memastikan keselamatan dan pengalaman hidup yang canggih," katanya.

Projek berkenaan juga menawarkan hubungan yang lebih lancar antara PIA, stesen LRT yang sedang dibina dan Mitsui Outlet Park, menjadikannya pilihan yang menarik untuk penduduk dan para pelabur.

Sementara itu, Chow berkata pembinaan tersebut dijangka meningkatkan pertumbuhan Pulau Pinang sebagai destinasi global untuk perniagaan, pelancongan dan inovasi.

Lebih 1,000 pekerjaan dijangka dapat diwujudkan menerusi projek berkenaan, dan menjana 300 peluang pekerjaan langsung apabila ia beroperasi kelak, katanya.

Projek ini juga disifatkan mendapat manfaat daripada integrasi strategiknya dengan ekosistem pengangkutan Pulau Pinang yang semakin berkembang.

"Terletak berhampiran PIA, stesen LRT yang akan datang, dan Mitsui Outlet Park yang sedang dalam perancangan, pembangunan ini memberi tumpuan kepada kebolehcapaian, ketersambungan dan perancangan bandar pintar.

"Sinergi ini mengukuhkan kedudukan Pulau Pinang sebagai peneraju dalam pembangunan infrastruktur moden serta penting untuk pertumbuhan berterusannya," kata Chow.

Tahun lepas, PIA menerima hampir tujuh juta penumpang, manakala bagi sektor mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran (MICE) menyumbang anggaran RM1.03 bilion kepada ekonomi negeri.

-- BERNAMA

 

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy