SUKAN

Gunung Arong Challenge 2024 Mampu Jadikan Mersing Lokasi Pelancongan Sukan Lasak

23/11/2024 08:57 PM

MERSING, 23 Nov (Bernama) -- Program larian Gunung Arong Challenge 2024 boleh menjadi pemangkin dalam mempromosikan daerah Mersing sebagai lokasi pelancongan sukan lasak di persada antarabangsa, kata Pegawai Daerah Mersing Jamil Hasni Abdullah.

Jamil Hasni berkata tahap kesukaran larian yang memasuki edisi ketiga itu semakin mencabar dengan tiga jarak iaitu 10 kilometer (km), 25km dan 35km.

Beliau bagaimanapun berkata larian yang berlangsung hari ini berjaya menarik 546 peserta dari dalam dan luar negara termasuk Singapura, Hong Kong, China, Filipina, Jepun dan Poland. 

“Jumlah peningkatan (peserta) yang signifikan ini membuktikan bahawa Gunung Arong mampu memberikan kepuasan kepada peminat sukan pendakian, dan amat berpotensi untuk dipromosikan sebagai sebuah destinasi pelancongan sukan lasak.  

“Selain itu, Hutan Simpan Gunung Arong ini juga mempunyai sejarah tersendiri dan kaya dengan kepelbagaian biologi flora, fauna dan ekosistem yang unik serta menarik,” katanya kepada Bernama selepas merasmikan penutupan program berkenaan di sini hari ini. 

Jamil Hasni dalam ucapannya berkata kawasan hutan simpan itu juga sering menjadi tumpuan pelancong tempatan dan antarabangsa terutama penggemar sukan pendakian atau larian denai. 

“Hal ini berikutan terdapat pelbagai tempat menarik seperti Puncak Gunung Arong, pemandangan indah di Teluk Arong selain kewujudan permatang kuarza iaitu daik yang terdiri daripada mineral silika sepenuhnya. 

“Terdapat lima strata hutan telah disahkan di hutan simpan ini iaitu Hutan Dipterokarpa Pamah, Hutan Kerangas, Hutan Paya Gambut, Hutan Paya Laut dan Hutan Paya Air Tawar, melalui Ekspedisi Sainstifik Kepelbagaian Biologi Hutan Simpan Gunung Arong yang dijalankan pada 17 hingga 21 Sept lepas,” katanya. 

Beliau yakin dan percaya bahawa inisiatif itu bukan sahaja mendatangkan faedah kepada jabatan dan kerajaan negeri, tetapi juga pelbagai pihak termasuk penyelidik bagi menjalankan kajian dan penyelidikan secara berterusan. 

Jamil Hasni berkata selain larian, pelbagai aktiviti menarik turut diadakan termasuk pertandingan mewarna, sukan rakyat, pameran dan jualan makanan serta minuman oleh komuniti setempat. 

“Secara tidak langsung, aktiviti seperti ini dapat membantu meningkatkan kompetensi komuniti dan menjadi platform mempromosikan sumber daya yang terdapat di Mersing, selain limpahan sosioekonomi dalam sektor inap desa, makanan dan pelancongan,” katanya. 

Program itu adalah anjuran Jabatan Perhutanan Negeri Johor, Mountain Goat Events, Kelab Aktiviti Luar Ribuan Kembara Johor, Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) di Malaysia, Singapura dan Brunei. 

-- BERNAMA 

 

 

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy