AM

Tengku Permaisuri Norashikin Berangkat Ke Program Orkestra Tradisional Malaysia

24/11/2024 12:20 AM

SHAH ALAM, 23 Nov (Bernama) -- Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin berkenan berangkat menyaksikan program Jangkauan Orkestra Tradisional Malaysia (OTM): Sounds of Malaysia (SOM) 2024 anjuran Istana Budaya (IB) di Plaza Alam Sentral di sini hari ini.

Keberangkatan tiba Tengku Permaisuri Norashikin pada 8.45 malam itu disambut Ketua Pengarah IB Zubaidah Mukhtar, Timbalan Ketua Pengarah Operasi IB Johan Cruyff@Mohd Johari Md Nordin dan Pengarah RCD Concept Sdn Bhd Datuk Seri Rozaimi Che Di.

Pengarah Persembahan program itu, Ramli Lani berkata OTM: SOM 2024 ialah program hiburan sambil mendidik masyarakat, khususnya kepada generasi muda tentang keindahan nilai estetika serta mengangkat dan memperkenalkan muzik tradisional seperti inang, zapin, asli dan joget. 

“Pemilihan lagu juga amat penting membolehkan idea dan mesej dapat disampaikan kepada penonton di samping menarik minat generasi muda terhadap keindahan muzik tradisional Malaysia,” katanya.

Ramli berkata acara dibahagikan kepada empat segmen dengan OTM bersama artis IB menjadi persembahan pembuka tirai. 

“Segmen kedua pula menampilkan Juara Vokal Bukan Sekadar Rupa iaitu Norhasmidar Ahmad atau Asmidar menyanyikan lagu-lagu tradisional manakala segmen ketiga melibatkan medley lagu-lagu rakyat pilihan.

“Segmen terakhir pula menampilkan persembahan bersama artis undangan iaitu tokoh Anugerah Pendokong Seni Negara 2006 Datuk Andre Goh dan pemenang trofi Penyanyi Lelaki Popular Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) ke-36 Muhammad Khairul Baharuddin atau Khai Bahar,” katanya.

Sebanyak 26 lagu tradisional dipersembahkan antaranya Tari Tualang Tiga, Ketipang Payung, Puteri Melayu, Halimun Malam, Asam Paya, Sireh Pinang dan medley lagu rakyat pilihan seperti Inang Renek, Ayam Didik serta Jong Inai.   

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy