AM

Karya Agung 'Tribute To Pak Ngah’: Mengangkat Legasi Irama Malaysia

24/11/2024 03:29 PM

SEREMBAN, 24 Nov (Bernama) -- Program Karya Agung: Tribute To Pak Ngah merupakan satu penghormatan besar kepada legasi diilhamkan Allahyarham Datuk Suhaimi Mohd Zain atau Pak Ngah atas usahanya mengangkat muzik Irama Malaysia yang penuh keunikan dan nilai seni tersendiri.

Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Mohd Amran Mohd Haris berkata semua lagu dan muzik Allahyarham Pak Ngah ini penuh dengan nilai seni dan warisan budaya serta mengajak generasi baharu untuk terus menghargai dan memperjuangkan karya agung ini.

“Kami mahu memastikan generasi baharu didedahkan dengan ciptaan muzik tradisional Pak Ngah ini, kita sememangnya membesar dalam muzik dibawa oleh Pak Ngah. Usaha ini akan diteruskan lagi pada masa akan datang," katanya kepada pemberita.

Turut hadir menyaksikan konsert itu Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan negeri, Nicole Tan di Auditorium Raja Melewar,  Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN)  Negeri Sembilan, di sini malam tadi.

Mohd Amran turut berterima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memberikan peruntukan menerusi Belanjawan 2024 bagi mengadakan program martabatkan kesenian negara yang memberikan manfaat besar kepada penggiat seni dan juga masyarakat.

Konsert anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) itu menampilkan artis terkenal Datuk Tamimi Siregar, Dr Norzizi Zulkifli, Noraniza Idris dan Zaifri Husin.

Persembahan arahan Siso Kopratasa itu turut mengetengahkan artis tempatan, Fitri Ismail, Siti Nadia Zaini, Nur Nabihah Mohd Shukeri dan artis cilik Cinta Suci Indah Urmila dengan dendangan lagu popular seperti Cindai, Nirmala dan Air Mata Syawal dan Dikir Puteri, Ting Ting dinyanyikan oleh Noraniza dalam konsert berlangsung hampir dua jam.

Pada akhir konsert, sebuah lukisan Allahyarham Pak Ngah dipotretkan oleh pelukis Persatuan Pelukis Negeri Sembilan, Mazlan Abu Bakar kemudian diserahkan kepada anak Allahyarham iaitu Megat Mohd Syahraini Suhaimi yang hadir menyaksikan program itu.

Megat Mohd Syahraini, 37, ketika ditemui terharu dan berterima kasih atas usaha semua pihak menghargai muzik bapanya dan berharap lagu-lagu tradisional terus diperjuangkan.

Selain konsert, pengunjung juga berpeluang menyaksikan beberapa koleksi barangan peribadi Allahyarham sebagai bahan pameran antaranya ialah alatan muzik akordian, skor muzik lagu ciptaan Pak Ngah, koleksi baju persembahan dan trofi anugerah dimenangi Allahyarham yang dibawa oleh Pak Ngah Production Sdn Bhd.

Dalam pada itu, MOTAC dalam kenyataan memaklumkan karya agung itu adalah inisiatif kementerian hasil daripada cetusan idea kerajaan dalam pembentangan Belanjawan 2024 oleh Perdana Menteri bagi memartabatkan seni budaya tradisional dan warisan negara.

Menurut kenyataan itu, program ini mengangkat karya seni agung dan bersejarah, seperti teater tradisional, tarian klasik, muzik asli, dan cerita rakyat yang kaya dengan nilai budaya dan sejarah melalui kaedah persembahan di seluruh negara.

“Harapan agar Tribute To Pak Ngah ini dapat mendekatkan generasi muda mengenang dan menghargai jasa tokoh muzik di sebalik kejayaan artis terkenal tanah air. Melalui program ini juga, ia dapat menghidupkan semula dan memupuk generasi akan datang untuk mencintai muzik Irama Malaysia serta mengangkat muzik ini ke persada dunia,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy