KUALA LUMPUR, 24 Nov (Bernama) -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengedarkan kupon diskaun khas bagi melancarkan operasi pembayaran saman dengan kadar diskaun hingga 60 peratus bersempena dengan Program Dua Tahun Kerajaan MADANI (2TM) dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam Tahun 2024 di sini.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata kupon itu dapat digunakan bagi menjelaskan saman secara dalam talian yang membantu menjimatkan masa dan mengurangkan kesesakan di kaunter pembayaran secara fizikal.
"Pembayaran boleh dibuat melalui aplikasi MyBayar PDRM atau laman web https://mybayar.rmp.gov.my/en/main, namun mereka perlu hadir ke sini (Pusat Konvensyen Kuala Lumpur) untuk mendapatkan kupon diskaun.
"Tawaran diskaun 60 peratus berakhir petang ini, dan saya menyeru orang ramai untuk memanfaatkan beberapa jam terakhir ini untuk menyelesaikan saman trafik mereka termasuk mengambil kupon diskaun yang hanya sah hari ini," katanya kepada Bernama di sini.
Mohd Yusri berkata setakat ini, polis mencatatkan kutipan saman masing-masing berjumlah RM2.1 juta pada hari pertama dan kedua 2TM manakala jumlah keseluruhan kutipan dijangka diumumkan esok.
Sementara itu, seorang pengunjung, Saidah Muhd, 35, menghela nafas lega kerana semua proses pembayaran selesai dalam masa kurang 15 minit melalui aplikasi MyBayar PDRM selepas mendapatkan kupon diskaun.
“Pada awalnya, saya agak bimbang jika proses membayar saman akan mengambil masa lama kerana di mana-mana sahaja program seperti ini diadakan, kaunter diskaun saman trafik yang paling ramai diserbu pengunjung.
"Bagaimanapun, saya berubah fikiran selepas tahu ada kupon khas diberikan untuk memudahkan urusan pembayaran dalam talian, seperti yang dikongsikan orang ramai dalam media sosial," katanya.
Selain kupon, polis juga menyediakan kaunter khas untuk warga emas, ibu mengandung dan Orang Kurang Upaya (OKU), yang dimanfaatkan oleh pesara M. Nathan, 68, untuk menyelesaikan samannya dan anak, yang tertunggak sejak 2022.
Dia juga memuji inisiatif pemberian diskaun hingga 60 peratus yang disifatkan membuka jalan kepada orang ramai supaya nama mereka tidak disenaraihitamkan akibat kesalahan trafik, selain potongan tinggi membantu mereka yang mengalami kekangan kewangan.
"Urusan pembayaran di kaunter berjalan lancar. Polis mahu membantu saya membuat bayaran dalam talian, namun saya memilih untuk berurusan secara fizikal kerana mahu menjelaskan saman anak juga," katanya yang mengambil masa hampir dua jam untuk menyelesaikan saman berkenaan.
Sejak hari pertama Program 2TM berlangsung Jumaat lepas, kaunter bayaran saman PDRM antara yang paling mendapat sambutan, dengan orang ramai mula beratur sejak 7 pagi, iaitu dua jam lebih awal daripada waktu kaunter mula beroperasi.
-- BERNAMA