AM

Graduan PKU: Kecacatan Bukan Penghalang Genggam Ijazah

24/11/2024 06:14 PM

GEORGE TOWN, 24 Nov (Bernama) -- Cacat penglihatan bukan penghalang kepada Teoh Zan Feng untuk menggenggam Ijazah Sarjana Muda Sastera Pengajian Bahasa Inggeris pada Majlis Konvokesyen ke-62 Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini.

Teoh, 24, atau mesra dipanggil Ernest adalah pelajar kelainan upaya (PKU) USM menjadi tumpuan kerana berjaya membuktikan keupayaannya untuk berdikari dan tinggal di asrama USM sepanjang tempoh pengajiannya.

Anak tunggal kepada pasangan Alvin Teoh, 53, dan Goh Bee Hiang, 52, itu mendedikasikan kejayaannya kepada kedua ibu bapanya yang telah banyak berkorban terutama ibunya yang sanggup mempelajari tulisan Braille untuk mengajarnya sejak dari sekolah rendah lagi.

"Saya pilih tinggal di asrama kerana lebih mudah untuknya bergaul bersama rakan-rakan sekuliah dengan mengikuti kelas secara fizikal, tambahan pula kemudahan disediakan untuk golongan orang kurang upaya (OKU) di USM adalah amat baik.

“Saya amat berterima kasih kepada ibu bapa kerana sentiasa menjadi pendukung kuat untuk saya menamatkan pengajian. Tanpa sokongan padu mereka saya mungkin tidak akan mampu sampai ke tahap ini,” katanya.

Ibunya yang juga seorang suri rumah berkata Teoh yang disahkan buta sejak dilahirkan menjadi kekuatan buatnya dan suami meneruskan kehidupan.

Goh berkata dia telah mengambil keputusan untuk tidak bekerja kerana mahu sentiasa bersama anaknya dalam proses pembesaran, dan pada masa sama mempelajari tulisan Braille untuk memudahkannya mengajar anak tunggal kesayangannya itu di rumah.

Menurutnya, Teoh seorang yang sangat berdikari apatah lagi pernah mengikuti kem mobiliti di Amerika Syarikat selama enam bulan dan di bawah jagaan keluarga angkat di sana selain turut menyertai pelbagai program khas bersama rakan-rakan yang normal lain.

“Saya sebolehnya mahu memberi yang termampu buat anak saya. Dialah satu-satunya anak kami dan saya mahu dia membesar dengan normal dan bergaul dengan semua orang,” katanya.

Sementara itu, Nor Elisha Mohd Zainai, 24, dari Tumpat, Kelantan yang dilahirkan tanpa kaki berkata dia mendapat sokongan daripada ibu bapa, keluarga dan rakan-rakan serta bantuan khas bagi memudahkan pergerakannya sepanjang tiga tahun setengah mengikuti pengajian di USM.

Graduan Ijazah Sarjana Muda dengan pengkhususan Sastera dan minor Bahasa Malaysia itu berkata cabaran terbesar sepanjang pengajian adalah ketika hendak menaiki bas ke kuliah kerana kemudahan itu sentiasa penuh.

“Namun, inisiatif Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (BHEPA) untuk pelajar PKU dengan pemberian basikal elektrik sangat membantu saya,” katanya.

Menurut Nor Elisham USM turut menyediakan pelbagai inisiatif dan prihatin terhadap keperluan PKU malah pihak pengurusan juga cakna dengan isu-isu yang diutarakan bagi memudahkan urusan pengajian mereka.

Nor Elisha yang sering menerima Anugerah Dekan sepanjang pengajiannya berkata dia bercadang untuk menyambung pengajian di peringkat Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah (DPLI) sebelum kembali semula ke USM untuk pengajian peringkat ijazah sarjana.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy