AM

Persidangan Mengenai Kembar Siam 2024 Perkukuh Hubungan Perubatan Malaysia-Arab Saudi

24/11/2024 09:20 PM

Daripada Diah Mohd Jaiz

RIYADH, 24 Nov (Bernama) -- Penyertaan wakil Malaysia dalam Persidangan Antarabangsa Mengenai Kembar Siam 2024 dapat meningkatkan hubungan dua hala dengan Arab Saudi melalui kerjasama dalam bidang perubatan.

Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi Datuk Wan Zaidi Wan Abdullah berkata kedua-dua negara mempunyai kepakaran dalam disiplin perubatan berbeza, dan perkongsian antara pakar membolehkan hubungan kerjasama dipertingkatkan.

"Kita terkenal dengan kepakaran bagi penyakit kanser manakala selain pembedahan kembar Siam, Arab Saudi juga terkenal dengan keupayaan melalui teknologi canggih dan kita boleh bekerjasama dengan mereka dalam perkara itu selain pelbagai lagi disiplin bidang perubatan," katanya selepas menghadiri majlis pelancaran Persidangan Antarabangsa Mengenai Kembar Siam 2024 di sini hari ini.

Beliau berkata Malaysia juga telah menyumbang kepakaran kepada sektor kesihatan di Arab Saudi melalui tenaga kerja di pusat perubatan swasta di negara itu.

Persidangan selama dua hari berkenaan menampilkan pelbagai program termasuk sesi peringkat menteri dengan pemimpin daripada organisasi kesihatan dari pelbagai negara.

Malaysia diwakili pakar perunding bedah kanak-kanak dan pakar perubatan janin ibu daripada Kementerian Kesihatan (KKM), selain pasangan kembar Siam negara yang sebelum ini menjalani pembedahan pemisahan di Arab Saudi pada 2002, Ahmad dan Muhammad Rosli.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy