Hampir tiga tahun tidak mempunyai sumber pendapatan selepas diberhentikan kerja di sebuah institusi perbankan pada 2013, Noor Hamisah Mohamed Sha’ari diselubungi resah melihat suaminya bertungkus-lumus seorang diri bagi menyara mereka enam sekeluarga.
Sebagai golongan berpendapatan rendah B40 dengan komitmen kewangan bulanan yang tinggi, dia sedar gaji suaminya semata-mata tidak dapat memberikan keselesaan hidup kepada empat anak mereka yang ketika itu berusia tiga hingga 15 tahun.
“Alhamdulillah, suami mampu sara kami dengan pendapatan sebagai pemandu Grab, tetapi saya tidak mahu sekadar berpeluk tubuh. Lebih-lebih lagi apabila melihat gaji yang dibawa pulang oleh suami juga agak lumayan.
“Jadi, saya cadangkan kepada suami agar saya ambil alih tempat dia sebagai pemandu Grab (kerana kami hanya ada sebuah kereta), dan dia cari kerja lain. Saya buat begitu kerana kerja dengan Grab membenarkan saya mengatur jadual harian, termasuk masa untuk anak-anak,” kata wanita berusia 46 tahun ini kepada Bernama.
Kini, selepas lapan tahun bergelar pemandu perkhidmatan e-hailing itu, Noor Hamisah yang mahu dibahasakan sebagai Mimi, berkata dia gembira dengan pekerjaannya sekarang dan bercadang untuk terus memandu bagi syarikat tersebut selama 10 tahun lagi.
DARI CUKUP-CUKUP JADI LEBIH
Bercerita lanjut, Mimi bagaimanapun mengakui pada peringkat awal dia ragu-ragu untuk menyertai Grab memandangkan syarikat itu masih baru di pasaran Malaysia, selain tidak ramai wanita yang terlibat dalam bidang tersebut.
“Saya beranikan diri kerana berpegang pada pendekatan ‘tak cuba tak tahu’. Alhamdulillah, saya buat keputusan tepat, kerana dalam tempoh tiga tahun pertama saya memperoleh pendapatan di luar jangkaan.
“Hakikatnya, sepanjang 15 tahun bekerja makan gaji, pendapatan tetap saya hanya cukup-cukup untuk perbelanjaan keluarga sebulan, dan ada masa belum sampai hujung bulan duit dah habis. Akan tetapi, apabila bekerja sebagai pemandu Grab, pendapatan saya tiga kali ganda lebih tinggi berbanding gaji sebelum ini,” jelasnya.
Menurut Mimi, dia mampu meraih pendapatan kasar hingga RM7,000 dan dapat menabung selain dapat membeli kereta impiannya.
Bagaimanapun akui Mimi, pendapatan bulanan bergantung pada komitmen seseorang pemandu.
“Amnya, saya bekerja tujuh hari seminggu, dan dalam sehari saya ambil purata 20 'trip’ atau perjalanan. Saya kerja bermula 7 pagi dan pastikan habis kerja pada 10 malam. Namun, realitinya, saya cuma kerja mungkin dalam 10 jam sahaja, sebab tengah hari saya akan berhenti rehat untuk uruskan rumah tangga,” jelasnya lagi.
Mengulas pertumbuhan pesat industri e-hailing yang menyaksikan penyertaan syarikat-syarikat baharu, Mimi berkata dia masih mampu meraih sekitar RM5,000 sebulan di sebalik persaingan sengit itu.
"Cuma kita kena usaha lebih sikit dan konsisten. Itu saja,” tambah wanita itu lagi.
MASA UNTUK KELUARGA
Selain menjana pendapatan, Mimi berkata dengan menjadi pemandu Grab dia mempunyai masa yang cukup untuk menguruskan rumah tangga dan empat anak yang tiga daripadanya masih bersekolah.
“Memang bersyukur juga kerana apabila bawa Grab ini saya dapat bahagikan masa antara kerja dan keluarga. Misalnya, pada waktu tengah hari saya akan rehat. Waktu ini saya luangkan untuk memasak makanan tengah hari buat keluarga dan ambil anak dari sekolah.
‘’… saya hanya keluar bekerja semula selepas lima petang dan habis kerja pada 10 malam. Pada waktu malam ini banyak trip sebenarnya yang saya boleh ambil sebab bukan waktu puncak orang pulang dari kerja. Jadi jalan tidak sesak,” tambahnya yang menetap di Taman Maluri, Cheras di sini.
Berkongsi lanjut, Mimi berkata pekerjaannya itu juga membolehkan dia kekal aktif dalam aktiviti lain termasuk sebagai jurulatih kecergasan.
“Saya terlibat dalam kegiatan ini sejak 2014 lagi dan jadual kerja sebagai pemandu Grab tidak menghalang saya untuk terus aktif. Malah, saya ambil lesen dan jadi jurulatih kecergasan berdaftar.
“Jika ada acara perlukan khidmat saya, maka saya dapat penuhi tanpa banyak masalah,” katanya, menambah dia lazimnya meluangkan masa sejam pada hujung minggu untuk kegiatan itu.
“Selepas acara tamat, saya akan sambung ambil trip Grab,” sambung Mimi.
KESELAMATAN TERJAMIN
Dalam pada itu, Mimi berkata meskipun ada yang melihat kerjaya sebagai pemandu e-hailing agak berisiko, terutamanya bagi wanita, Grab menyediakan beberapa protokol yang menjamin keselamatan pemandu dan penumpang.
“Pada aplikasi Grab, ada disediakan butang kecemasan yang membolehkan pemandu dan juga penumpang menghubungi pihak berkuasa atau pasukan sokongan Grab dengan pantas jika ada kecemasan.
“Selain itu, aplikasi tersebut juga ada sistem pengesanan, iaitu perjalanan dipantau pada masa sebenar,” jelasnya.
Mengulas pengalamannya sepanjang bergelar pemandu e-hailing, wanita itu tidak menyangkal bertemu dengan pelbagai ragam manusia yang secara tidak langsung mengajarnya cara menangani masalah berbangkit.
“Kerenah pelanggan memang bermacam-macam. (Akan tetapi) bila sudah lama dalam industri ini kita akan tahu bagaimana cara hendak tanganinya.
“Saya pernah berdepan pelanggan yang tidak mahu membuat bayaran. Selalunya jika (libatkan) jumlah yang kecil saya halalkan sahaja. Jika tidak, saya akan buat laporan kepada Grab,” katanya.
JADI PEMANDU 10 TAHUN LAGI
Selesa menjadi pemandu Grab sejak 2016, Mimi belum mempunyai rancangan untuk menamatkan kerjayanya dalam tempoh terdekat.
Berasakan kerjaya itu sesuai dengan jiwanya, pemandu berpengalaman ini berhasrat meneruskan khidmatnya dengan syarikat tersebut selama 10 tahun lagi.
“Ada ramai warga emas atau veteran yang jadi pemandu Grab. Justeru, saya tidak nampak halangan untuk saya terus bekerja dalam bidang ini.
“Tambahan pula kerjaya ini menyeronokkan kerana dapat bertemu dengan pelbagai orang, termasuk pelancong asing,” katanya yang menyifatkan kerjaya itu tidak sekadar memberi kepuasan dari segi pendapatan, tetapi juga hati.
“… secara peribadi, saya lihat pemandu e-hailing ini ialah duta kecil pelancongan, kerana melalui kami, negara dapat dipromosikan. Kita beritahu pelancong asing tempat-tempat menarik untuk dilawati,” tambahnya.
Selain itu, kata Mimi, dia juga berasa puas dapat membantu pelancong asing menggunakan aplikasi e-hailing dengan betul.
“Ada pelancong yang tidak pandai gunakan aplikasi Grab ini. Saya pernah beberapa kali berdepan dengan pelancong salah letak lokasi sebenar.
‘”Mungkin kerana keramahan dan sikap saya yang suka berbual dan membantu itu menyebabkan saya juga sering diberikan tip oleh pelancong. Ada yang beri dalam duit kita, tapi ada juga beri duit mereka,” katanya, menambah pernah menerima tip RM500 daripada seorang pelancong asing.
-- BERNAMA