KUALA LUMPUR, 25 Nov (Bernama) -- Bank Pembangunan Malaysia Bhd (BPMB) dan Aim Concept Sdn Bhd (ACSB) menandatangani kemudahan pembiayaan sebanyak RM75 juta untuk memulakan projek bernilai RM428 juta bagi pembesaran klinik dan wad pakar Hospital Besar Pulau Pinang.
Dalam satu kenyataan hari ini, BPMB berkata projek itu termasuk kemudahan setinggi 15 tingkat dengan 216 katil yang dilengkapi klinik pakar dan wad untuk kardiotorasik, neurosurgeri, oftalmologi, telinga, hidung dan tekak (ENT), rawatan rapi, perkhidmatan dengan penggantungan yang tinggi dan dewan bedah yang canggih dilengkapi pembedahan robotik.
Bank itu juga berkata projek berkenaan akan mewujudkan 2,100 pekerjaan, menangani jurang dalam penjagaan pakar, mengurangkan kesesakan dan meningkatkan akses kepada rawatan yang berkualiti dan tepat pada masanya.
“Pembiayaan itu mencerminkan tujuan BPMB untuk menyediakan modal impak bagi pembangunan negara.
"Penilaian terhadap pembiayaan ini dilakukan melalui rangka kerja mengukur impak terhadap pembangunan negara (MIND) BPMB, memastikan penyelarasan dengan standard alam sekitar, sosial dan tadbir urus serta objektif Rancangan Malaysia Ke-12 kerajaan," katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BPMB Roni Abdulwahab berkata ini mencerminkan sokongan dan kerjasama ekosistem institusi kewangan pembangunan (DFI) dalam mengukuhkan mandat keseluruhan, daripada perusahaan kecil dan sederhana hinggalah kepada syarikat berskala besar yang berdaya saing tinggi.
"Melalui ekosistem DFI, terdapat kesinambungan sokongan dan modal ke arah pembangunan usahawan bumiputera ke peringkat pertumbuhan seterusnya," kata beliau.
-- BERNAMA