KUALA LUMPUR, 25 Nov (Bernama) -- Standard Liga Hoki Malaysia (MHL) semakin mendapat perhatian apabila menerima penyertaan pasukan Territory Stingers dari Australia masing-masing lelaki dan wanita bagi memeriahkan lagi kancah liga hoki negara musim depan.
Presiden KHM Datuk Seri Subahan Kamal berkata memorandum persefahaman (MoU) selama tiga tahun dicapai bersama pasukan itu bakal menjadi tarikan pada saingan liga tersebut yang mula membuka ruang penyertaan negara lain pada musim lepas.
MHL 2025 dijadualkan berlangsung dari 4 Jan hingga 22 Feb tahun hadapan.
“Pada MHL 2024, Liaoning Hockey Team dari China masing-masing lelaki dan wanita menyertai saingan liga kita. MHL adalah liga yang telah diadakan sejak beberapa tahun lepas tetapi kami cuba untuk bawa liga ini ke tahap berbeza dan kita dapat banyak permintaan daripada negara dan kelab luar yang nak bermain.
“Semua kos mereka (Territory Stingers) tanggung sendiri. Kesediaan mereka untuk datang, belanja duit dan duduk di sini hampir dua bulan bermain di liga kita menunjukkan bahawa liga kita ini ada standard,” katanya pada majlis pemeteraian MoU di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil di sini hari ini.
Subahan berkata jalinan kerjasama itu tidak akan terhenti apabila KHM turut bercadang memperluaskan kepada perkara lain antaranya pemain negara berpeluang beraksi dalam divisyen tertinggi Australia sekiranya Territory Stingers layak beraksi di Liga Hoki 1 Australia.
"Mereka (Territory Stingers) berkeyakinan tinggi untuk beraksi di Liga Hoki 1 Australia pada tahun depan dan kami telah mengadakan persetujuan bersama iaitu apabila bermain di liga tersebut 50 peratus kelab itu disertai pemain kebangsaan kita. Ini salah satu cara untuk mendedahkan pemain beraksi di liga luar.
"Kita juga mengadakan modul iaitu jurulatih kelab ini (Territory Stingers) yang kebanyakannya bekas pemain Australia akan memberi klinik kepada pemain Program Pembangunan Hoki Negara (NHDP) dan diuruskan oleh KHM," katanya.
Beliau berkata berkata barisan kejurulatihan negara juga bakal di hantar ke Australia untuk mendalami bagaimana kelab tersebut membentuk pasukan sepanjang Liga Hoki 1 Australia berlangsung.
"Selain itu, sepanjang mereka beraksi dalam liga kita akan ada pertukaran pengadil dari Australia dibawa masuk ke dalam MHL dan apabila mereka beraksi di Liga Hoki 1 Australia kita akan bawa pengadil kita ke sana.
"Terakhir, mereka akan menganjurkan festival hoki pada September tahun depan iaitu kejohanan bawah 21 tahun (B-21), jadi kita akan ada skuad remaja untuk menyertai kejohanan tersebut. Ini satu daripada cara untuk memberi pendedahan terbaik buat pemain tanpa belanja besar," katanya.
-- BERNAMA