JENAYAH & MAHKAMAH

174 Individu Ditahan Disyaki Terlibat Aktiviti Pelacuran Di Johor

25/11/2024 11:55 PM

JOHOR BAHRU, 25 Nov (Bernama) -- Polis menahan 174 individu termasuk 162 warga asing dalam 16 serbuan menerusi Op Noda yang dijalankan di beberapa kawasan di negeri ini bermula 16 Nov lepas hingga hari ini.

Ketua Polis Johor Datuk M Kumar berkata operasi di sekitar bandar raya ini, Iskandar Puteri dan Batu Pahat itu menumpukan usaha membanteras aktiviti pelacuran di premis hiburan, rumah urut dan hotel.

“Warga tempatan yang ditahan melibatkan sembilan lelaki dan tiga wanita.

"Warga asing pula terdiri daripada 29 lelaki Vietnam, Myanmar, Filipina dan Pakistan serta 133 wanita Vietnam, Thailand, China, Laos dan Indonesia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata kesemuanya berusia antara 18 hingga 54 tahun dan pihaknya turut menemukan 101 botol minuman keras dipercayai tidak dibayar cukai.

Pasukan serbuan katanya merampas pelbagai peralatan dipercayai digunakan dalam aktiviti pelacuran seperti kondom, cecair pelincir, tisu gulung, tuala dan wang tunai berjumlah RM14,174.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 372B dan Seksyen 373 Kanun Keseksaan, Seksyen 135 (d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 6(2) dan 11(2) Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan Negeri Johor (ENJ) 4/98.

“Mereka turut disiasat di bawah Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, Seksyen 55B, Seksyen 15(1)(c) dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy