GAYA HIDUP

Anugerah All Stars Influencers 2024, Medan Pencipta Kandungan Asah Bakat

26/11/2024 10:20 AM

KUALA LUMPUR, 26 Nov (Bernama) -- Anugerah All Star Influencers (ASIA) 2024 yang bakal menghimpunkan lebih 60 pempengaruh dari lapan negara pada Disember ini, mampu menjadi platform bagi pencipta kandungan mengasah bakat sambil mempromosikan pelancongan Malaysia di media sosial.

Ketua Pegawai Eksekutif ASIA Datuk Abd Rahman Soltan berkata menerusi pertandingan dari 3 hingga 7 Dis itu, pempengaruh dari Malaysia, Indonesia, Jepun, Filipina, Taiwan, Vietnam, Thailand dan Korea Selatan akan bersaing dalam 13 kategori dan menghasilkan video bertemakan pelancongan Malaysia.

"Peserta akan menjalani aktiviti seni dan budaya selama tiga hari di Melaka, selari dengan Tahun Melawat Melaka 2024, dan menghasilkan kandungan yang menonjolkan keindahan serta kepelbagaian budaya di Malaysia,” katanya pada sidang media di sini.

Beliau berkata pertandingan itu juga bertujuan menekankan kepentingan menghasilkan kandungan yang bermanfaat dan berkualiti, sekali gus membentuk pencipta kandungan yang lebih bertanggungjawab dalam menyampaikan mesej positif kepada audiens.

"Pempengaruh dipilih berdasarkan potensi dan kreativiti mereka dalam mencipta kandungan dan keterlibatan di media sosial, kerana kami percaya golongan muda ini mempunyai idea unik dan cara tersendiri bagi menarik audiens, bukan sekadar kandungan kosong atau mencipta sensasi untuk menarik perhatian," katanya. 

ASIA 2024 merupakan penganjuran kali kedua dan antara anugerah yang dipertandingkan ialah Best Storyteller Award, Best Mixed Language Award, Best Transition/Editing Award dan Best Influencer Award.

-- BERNAMA 

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy