DUNIA

Tarif Import Dikenakan Ke Atas China, Mexico, Kanada - Trump

26/11/2024 01:54 PM

WASHINGTON, 26 Nov (Bernama-dpa) -- Presiden terpilih Amerika Syarikat, Donald Trump pada Isnin mengumumkan bahawa beliau akan mengenakan tarif import yang tinggi ke atas semua barangan dari Mexico dan Kanada, serta tarif tambahan ke atas barangan dari China sebaik sahaja beliau kembali ke Rumah Putih.

Trump berkata melalui di platform media sosial Truth Social bahawa beliau akan menandatangani perintah eksekutif pada hari pertama beliau memegang jawatan, lapor Agensi Berita Jerman, dpa.

"Pada 20 Jan, sebagai satu daripada Perintah Eksekutif pertama, saya akan menandatangani semua dokumen yang diperlukan untuk mengenakan tarif sebanyak 25 peratus ke atas SEMUA produk yang masuk ke Amerika Syarikat dari Mexico dan Kanada, serta sempadan terbuka mereka yang tidak masuk akal.

"Kami akan mengenakan tarif tambahan 10 peratus ke atas China, melebihi tarif tambahan yang sedia ada ke atas semua produk mereka yang masuk ke Amerika Syarikat," kata Trump.

Sepanjang penggal pertama beliau sebagai presiden, Trump mengenakan tarif punitif yang tinggi ke atas banyak barangan dari China.

Dalam kempen pilihan raya 2024, beliau mengancam untuk mengenakan lebih banyak tarif ke atas produk-produk China yang dijangka memberi kesan besar terhadap perdagangan dunia.

Sementara itu, dpa Washington melaporkan bahawa China memberi tindak balas terhadap pengumuman Trump, dengan menyatakan bahawa tiada pihak yang akan menang dalam perang dagangan.

"Tiada pemenang dalam perang tarif atau perang perdagangan. Dunia juga tidak akan mendapat manfaat daripadanya," kata jurucakap Kedutaan China, Liu Pengyu di platform media sosial X.

Liu berkata bahawa China sedia bekerjasama dengan semua pihak untuk menegakkan multilateralisme, membina ekonomi dunia yang terbuka, menyokong pembangunan mampan, mencapai kemakmuran bersama dan membina sebuah komuniti dengan masa depan bersama demi kemanusiaan.

Dalam perkembangan berkaitan, Kanada turut menegaskan kepentingannya kepada Amerika Syarikat, sejurus selepas Trump mengumumkan akan mengenakan tarif import yang tinggi ke atas semua barangan dari negara jiran itu.

"Kanada dan Amerika Syarikat mempunyai satu hubungan yang paling kukuh dan rapat, terutamanya dalam hal perdagangan dan keselamatan sempadan.

"Kanada memberi keutamaan tertinggi terhadap keselamatan sempadan dan integriti sempadan," kata Timbalan Perdana Menteri Chrystia Freeland dan Menteri Keselamatan Awam Kanada, Dominic LeBlanc dalam satu kenyataan bersama.

Menteri-menteri itu menekankan hubungan yang "seimbang dan saling menguntungkan" antara kedua-dua negara jiran dengan menegaskan bahawa Kanada memainkan peranan penting dalam bekalan tenaga domestik AS, dan pada tahun lepas, 60 peratus daripada import minyak mentah AS berasal dari Kanada.

"Kami tentu akan terus membincangkan isu-isu ini dengan pentadbiran yang akan datang," menurut kenyataan itu tanpa secara khusus menyebut pengumuman Trump yang dibuat beberapa jam sebelumnya.

-- BERNAMA-dpa


 

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy