AM

Festival Idea Putrajaya Himpunkan Lebih 80 Pemimpin, Pakar Untuk Bincang Idea Inovatif

26/11/2024 02:04 PM

PUTRAJAYA, 26 Nov (Bernama) -- Festival Idea Putrajaya (Putrajaya FOI) yang akan diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini bermula esok hingga Jumaat ini, dijangka menghimpunkan lebih 80 pemimpin, pakar bidang, ahli akademik dan industri dalam pentas forum dan sidang selari menerusi Sidang Idea Malaysia (MyIDEAS).

Antara tetamu kehormat dan panel atau moderator yang dijadualkan hadir adalah Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil; Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh; Ketua Pegawai Eksekutif Capital A Tan Sri Tony Fernandes dan Pengerusi Ikhlas Capital Tan Sri Nazir Tun Razak.

Dalam kenyataan hari ini, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memaklumkan platform berprestij itu akan membincangkan isu-isu semasa dengan kesemua mereka yang menjadi moderator serta  panel akan berkongsi pandangan, pengalaman dan idea-idea inovatif serta penyelesaian terhadap cabaran semasa yang dihadapi negara dan dunia.

Terdapat lima forum yang akan berlangsung sepanjang tiga hari penganjuran ini, yang akan menyentuh pengenalan idea, kisah kejayaan idea, serta reformasi perkhidmatan awam.

“Selain itu, 10 sidang selari turut dijadualkan dengan topik berkaitan ekonomi, pendidikan, diplomasi antarabangsa, kesihatan, Kecerdasan Buatan (AI), TVET, transformasi pendigitalan, keterjaminan makanan, kelestarian alam serta konteks MADANI,” menurut kenyataan itu.

KPT memaklumkan bahawa sesi Putrajaya FOI Talk dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut diadakan bersama dua panel lain bagi membincangkan mengenai ‘Idea Anak Muda Malaysia’ sekali gus beliau dijadual merasmikan program itu pada Khamis ini (28 Nov).

Sultan Perak Sultan Nazrin Shah turut berkenan menyampaikan Titah Diraja di Putrajaya FOI pada Jumaat, yang merupakan hari terakhir program, menurut kenyataan itu.

KPT memaklumkan penganjuran program berprestij itu sebagai usaha signifikan bagi memartabat pendidikan tinggi serta memperkukuh imej Malaysia sebagai pusat kecemerlangan wacana intektual dan inovasi. 

“KPT berharap dengan pengisian-pengisian ini akan mengembalikan kegemilangan budaya ilmu dan melahirkan masyarakat yang menghargai ilmu,” menurut kenyataan itu.

Sebelum ini, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata Putrajaya FOI bakal menjadi titik permulaan kepada acara tahunan yang akan mengukuhkan imej Malaysia sebagai negara berasaskan pengetahuan dan inovasi, sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI dan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy