AM

JPA Pentaskan Teater Lara Wirang Dari 19 Hingga 21 Dis

26/11/2024 06:21 PM

KUALA LUMPUR, 26 Nov (Bernama) -- Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) akan mementaskan teater ‘Lara Wirang’ di Dewan Tun Canselor, Universiti Multimedia Malaysia (MMU), Cyberjaya selama tiga hari bermula 19 Dis ini.

JPA dalam kenyataan hari ini memaklumkan Lara Wirang membawa makna dendam membara akibat diaibkan dan ia diadaptasi daripada pelbagai sumber kajian empirikal, yang disesuaikan dengan kemelut dihadapi Kerajaan Melaka dahulu kala.

“Penceritaan kisah ini dibangunkan hasil kajian sejarah Nusantara melibatkan kerajaan di Tanah Melayu dan Jawa dalam tempoh di antara 1427 hingga 1499 melalui jurnal, tesis, laporan penemuan dan artikel akhbar.

“Ia juga hasil perbincangan dengan beberapa pegawai yang telah menjalankan penyelidikan mengenai hubungan baik antara Kerajaan Kelantan Tua (Chermin) dan Melaka yang tergugat kerana fitnah dan salah faham,” menurut kenyataan itu.

Pementasan Lara Wirang, hasil karya Teater Perkhidmatan Awam ini merupakan iltizam JPA dalam meningkatkan kesedaran pegawai awam berhubung kepentingan memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi kerajaan.

Sementara itu, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dalam kenyataan sama berkata pementasan teater ini diharapkan membangkitkan kesedaran dan minat masyarakat terhadap sejarah Nusantara dan serumpun.

Beliau berkata pementasan teater ini melibatkan pegawai awam bukan Melayu dan turut membina jaringan kerjasama tertinggi 95 penjawat awam dari 31 agensi dan mahasiswa MMU.

“Ia sebagai wahana kecintaan terhadap elemen kenegaraan iaitu bahasa kebangsaan, bagi mengukuhkan masyarakat yang berbudi bahasa berpaksikan teras Hormat, Malaysia MADANI,” katanya.

Wan Ahmad Dahlan berkata tiket untuk menyaksikan teater ini dijual pada harga RM12 serta RM22 dengan 1,000 penonton disasarkan hadir pada setiap malam dan berharap semua kementerian dan agensi dapat menyokong pementasan ini.

Ketika ini, Teater Perkhidmatan Awam telah diangkat sebagai antara agenda kebahasaan berimpak tinggi yang berupaya mengukuhkan jati diri dan menyatukan pelbagai kaum dan agensi dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu di peringkat tertinggi dalam perkhidmatan awam.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy