PASARAN

Pasaran Getah Ditutup Tinggi

26/11/2024 07:22 PM

Oleh Danni Haizal Danial Donald

KUALA LUMPUR, 26 Nov (Bernama) -- Pasaran getah Kuala Lumpur ditutup tinggi pada Selasa, didorong oleh aliran menaik pasaran niaga hadapan getah serantau dan harga minyak mentah yang stabil, kata peniaga.

Katanya sentimen didorong oleh prospek lebih banyak langkah-langkah rangsangan fiskal China dalam kebimbangan mengenai bekalan getah asli yang terhad di rantau ini berikutan ramalan cuaca buruk.

“Namun, kenaikan seterusnya dihadkan oleh kebimbangan mengenai prospek perang perdagangan baharu antara China dan Amerika Syarikat (AS) dan potensi kesannya terhadap ekonomi global,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata niaga hadapan getah Jepun menaik pada Selasa apabila yen yang rendah menyokong pasaran berikutan pengukuhan dolar AS.

“Harga minyak meningkat pada Selasa selepas merosot pada sesi sebelumnya berikutan pelabur melihat potensi gencatan senjata antara Israel dan Hizbullah, yang memberi impak terhadap premium risiko minyak,” katanya.

Pada 5 petang, harga minyak mentah Brent meningkat 0.56 peratus kepada US$73.48 setong.

Peniaga berkata Beijing dijadual mengadakan dua mesyuarat politik penting pada Disember dan China dijangka memperkenalkan lebih banyak langkah-langkah rangsangan fiskal bagi mengimbangi kesan tarif.

Selain itu, Presiden terpilih Donald Trump pada Isnin dilaporkan berjanji akan mengenakan tarif terhadap tiga rakan dagangan terbesar AS, termasuk Kanada, Mexico dan China yang memperincikan cara beliau melaksanakan janji kempennya yang boleh mencetuskan perang perdagangan.

Mengikut Lembaga Getah Malaysia (LGM), harga Standard Malaysian Rubber 20 (SMR 20) melonjak 13.5 sen kepada 860.5 sen sekilogram manakala lateks pukal menaik empat sen kepada 686.5 sen sekilogram.

Pada 5 petang, SMR 20 berada pada 854.5 sen sekilogram dan lateks pukal pada 684.5 sen sekilogram.

-- BERNAMA


 

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy