DUNIA

Forum Perniagaan Antarabangsa Rusia-ASEAN Bakal Jadi Acara Tahunan

26/11/2024 09:05 PM

Oleh Rohani Ibrahim

KUALA LUMPUR, 26 Nov (Bernama) -- Yayasan Roscongress merancang untuk menjadikan Forum Perniagaan Antarabangsa Rusia-ASEAN sebagai acara tahunan bagi meningkatkan dialog antara Rusia dan negara anggota ASEAN.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Alexander Stuglev memberitahu Bernama  Forum Perniagaan Antarabangsa Rusia-ASEAN yang pertama dan bermula di sini hari ini menarik lebih 400 peserta, kebanyakannya komuniti perniagaan dari Rusia, Malaysia, dan negara-negara ASEAN.

"Malaysia sengaja dipilih sebagai lokasi forum ini. Sebagai  satu daripada hab utama ekonomi di rantau ini, Malaysia memainkan peranan yang tidak ternilai dalam mengukuhkan hubungan antara Rusia dan ASEAN," katanya ketika ditemui di luar ‘Forum Perniagaan Antarabangsa Rusia-ASEAN: Dunia Peluang’, di sini pada Selasa.

Menurut Stuglev, hubungan antara Rusia dan ASEAN menunjukkan momentum yang baik pada masa ini, dengan jumlah rakyat Rusia yang mengunjungi negara-negara di rantau ini melebihi dua juta orang pada tahun 2023.

Beliau berkata penerbangan langsung antara Rusia dan Malaysia dapat meningkatkan pergerakan penduduk antara kedua-dua negara,  serta Rusia dan rantau ini pada masa depan.

Pelancongan kekal antara bidang yang menarik bagi kedua-dua negara manakala dalam bidang pendidikan, Rusia kekal sebagai destinasi popular untuk pendidikan tinggi dalam kalangan pelajar Malaysia.

Pada masa ini, terdapat 700 pelajar Malaysia yang belajar di universiti-universiti Rusia, kebanyakannya dalam bidang pengajian perubatan, kata Stuglev.

Forum dua hari anjuran Yayasan Roscongress ini akan berakhir pada Rabu, bertujuan mengukuhkan kedudukan pemain ekonomi utama di rantau ini serta menjadi platform penting perbincangan dan liputan meluas mengenai pengukuhan hubungan perdagangan dan pelaburan antara Rusia dan ASEAN.

Yayasan Roscongress yang ditubuhkan pada 2007, adalah sebuah institusi pembangunan bukan kewangan yang didedikasikan untuk meningkatkan potensi ekonomi dan imej antarabangsa Rusia.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy