KUALA LUMPUR, 26 Nov (Bernama) -- Keuntungan bersih bagi suku ketiga 2024 TH Plantations Bhd (THP) melonjak kepada RM21.55 juta daripada RM17.55 juta tahun lepas.
Hasil meningkat 16.32 peratus kepada RM251.99 juta daripada RM216.64 juta sebelum itu, didorong oleh prestasi yang kukuh dalam perladangan kelapa sawit, peningkatan jumlah jualan minyak sawit mentah (MSM) dan isirung sawit, serta purata harga direalisasi yang tinggi bagi kedua-dua produk.
Bagi tempoh sembilan bulan terkumpul, keuntungan bersih melonjak kepada RM44.99 juta daripada RM34.34 juta manakala hasil naik kepada RM607.32 juta daripada RM535.52 juta.
Dalam satu kenyataan berasingan selepas makluman keputusan suku ketiga kepada Bursa Malaysia, syarikat perladangan itu berkata ia mencatat keputusan kewangan yang cemerlang bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 Sept, 2024 dengan keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak RM95.12 juta.
"Ia mencerminkan peningkatan ketara sebanyak 56.06 peratus berbanding RM60.95 juta yang dicatatkan bagi tempoh yang sama tahun lepas. Pertumbuhan ini terutamanya disokong oleh hasil yang lebih tinggi daripada peningkatan jumlah jualan dan purata harga direalisasi yang lebih baik bagi MSM dan isirung sawit.
“Selain itu, peningkatan kecekapan operasi untuk tempoh sembilan bulan juga menghasilkan kenaikan 69 peratus dalam keuntungan kasar sebanyak RM180.76 juta daripada RM107.06 juta bagi tempoh yang sama tahun lepas,” katanya.
THP berkata pengeluaran tandan buah segar (TBS) meningkat 10.3 peratus daripada 539,123 tan kepada 594,416 tan, disumbangkan antaranya oleh trend tanaman yang lebih baik, terutama dari Semenanjung Malaysia.
“Hasil TBS sehektar juga meningkat sebanyak 11.3 peratus. Margin keuntungan kasar meningkat sebanyak 48.9 peratus, daripada 19.99 peratus kepada 29.76 peratus, manakala margin PBT juga meningkat 37.6 peratus daripada 11.38 peratus kepada 15.66 peratus,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif Mohamed Zainurin Mohamed Zain berkata THP berada di landasan yang betul untuk memberikan nilai kepada para pemegang saham kerana PBT untuk sembilan bulan telah melepasi PBT tahun penuh bagi tahun kewangan 2023 sebanyak RM85.91 juta.
“Di samping harga MSM yang menggalakkan menjelang baki tahun ini, kami menantikan prestasi THP yang lebih baik untuk 2024.
“Inisiatif Pelan Perniagaan Strategik lima tahun kumpulan atau Al-Falah 22/22 akan terus menjadi penggerak dalam mencapai hasil yang lebih baik melalui kecekapan operasi, amalan agronomi yang lebih baik, penanaman semula dan usaha mekanisasi yang dipercepatkan,” katanya.
Memandang ke hadapan, THP berkata bahawa ia kekal optimistik dengan berhati-hati mengenai prospek pasaran.
“Dinamik pasaran yang positif termasuk bekalan minyak sawit yang terhad, paras stok yang rendah, dan perancangan dan kemas kini biodiesel pada 2025 telah menyokong industri sejak Oktober 2024.
"Kumpulan menjangkakan aliran ini akan berterusan sehingga akhir tahun dan seterusnya menyumbang secara positif ke arah prestasi keseluruhan," katanya.
-- BERNAMA