AM

Perhilitan Tangkap Harimau Dahan Serang Haiwan Ternakan Di Sik

27/11/2024 02:52 PM

SIK, 27 Nov (Bernama) -- Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) berjaya menangkap seekor harimau dahan jantan yang dipercayai berkeliaran di pinggir Kampung Lubuk Tualang dekat sini pagi semalam.

Pengarah Perhilitan Kedah Dr Abdul Malek Mohd Yusof berkata usaha menangkap haiwan terbabit dilakukan selepas menerima aduan daripada penduduk kampung mengenai serangan harimau terhadap ternakan.

"Ahad lepas, kami terima aduan tentang serangan harimau terhadap haiwan ternakan dan peliharaan … pada hari sama, kakitangan Perhilitan Daerah Sik turun ke lokasi dan mendapati ada kesan tapak kaki haiwan itu yang masih baharu.

"Satu unit perangkap dipasang di lokasi aduan … dan akhirnya, seekor harimau dahan (Neofelis nebulosa) jantina jantan dewasa, didapati telah memasuki perangkap yang dipasang," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pemeriksaan akan dilakukan terhadap harimau terbabit bagi mengetahui status kesihatan sebelum dipindahkan ke habitat yang jauh daripada penempatan manusia.

Sementara itu, Abdul Malek berkata berdasarkan laporan yang diterima, selain Kampung Lubuk Tualang, beberapa kampung termasuk Kampung Chepir, Kampung Hujung Becah, Kampung Sik Dalam dan Kampung Kelian di daerah itu, turut mengalami gangguan serangan harimau dahan.

"Harimau dahan ini dipercayai keluar dari Hutan Simpan Rimba Teloi yang terletak berhampiran dengan kampung untuk mencari makanan.

"Orang ramai disarankan supaya lebih berhati-hati dan berwaspada jika terserempak dengan hidupan liar dan sebarang aduan serta maklumat berkenaan hidupan liar boleh disalurkan kepada Perhilitan melalui talian Hotline 1-800-88-5151 atau eaduan di laman web www.wildlife.gov.my," katanya.

Dalam perkembangan sama, penduduk Kampung Lubuk Tualang Mohamad Wahab, 38, berkata penduduk kampung bimbang untuk keluar menoreh getah atau ke kebun tanaman kerana sering terserempak dengan haiwan pemangsa itu.

"Harimau dahan pernah menyerang seekor beruk peliharaan penduduk kampung dan seekor kambing milik penduduk.

"Alhamdulillah … akhirnya harimau yang sering muncul berhampiran rumah penduduk berjaya ditangkap, saiznya agak besar … terima kasih kepada Perhilitan kerana mengambil tindakan segera bagi mengelak kejadian tidak diingini berulang," katanya.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy