JENAYAH & MAHKAMAH

Tukang Gunting Rambut Didakwa Miliki Air Ketum

27/11/2024 02:46 PM

IPOH, 27 Nov (Bernama) -- Seorang tukang gunting rambut dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memiliki 900 liter air ketum, Jumaat lepas.

Jamal Mirdad Khairuddin, 41, mengangguk faham ketika pertuduhan keatasnya dibacakan di hadapan Majistret S. Punitha, namun tiada pengakuan direkodkan sementara menunggu laporan kimia.

Mengikut pertuduhan, tukang gunting rambut itu didapati berada dalam kawalannya anggaran jumlah isi padu cecair 900 liter yang mengandungi mitragynine yang disenaraikan dalam Jadual Pertama dan Jadual Ketiga (Bahan-Bahan Psikotropik) Akta Racun 1952.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di rumah di Laluan Pakatan Jaya 4, Pakatan Jaya di sini, kira-kira 12.01 tengah malam, 22 Nov lepas.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 30(5) akta yang sama yang memperuntukkan denda maksimum RM100,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Timbalan Pendakwa Raya Vatchira Wong Rui Fern menawarkan jaminan RM7,000 kerana mengambil kira barang kes yang banyak dengan melibatkan 900 liter cecair.

Bagaimanapun peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Nor Izawani Ahmad Jalaludin yang mewakili tertuduh pula memohon jaminan rendah antara lain kerana berpendapatan hanya RM80 sehari, dan perlu menjaga ibunya berusia 60 tahun.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM3,500 dan sebutan semula kes pada 5 Feb depan.

Pada 23 Nov lepas, polis menahan enam lelaki tempatan berusia lingkungan 24 hingga 42 tahun dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Pakatan Jaya dekat sini kerana disyaki terbabit sindiket penjualan air ketum.

Dalam serbuan itu polis turut merampas sepuluh tong ais mengandungi 3,000 bungkusan air ketum yang dianggarkan seberat 900 liter, 35 bungkusan plastik hitam mengandungi daun ketum seberat 350 kilogram dengan nilai keseluruhan berjumlah RM41,000.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy