AM

Tuanku Muhriz Berkenan Sempurnakan Pameran Seni, Buku Tokoh Arkitek Hajeedar

27/11/2024 03:47 PM

KUALA LUMPUR, 27 Nov (Bernama) -- Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir berkenan berangkat ke majlis pelancaran buku dan pameran seni oleh arkitek ternama tempatan Datuk Hajeedar Abdul Majid di ibu negara hari ini.

Turut berangkat Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud bersama putera baginda Tunku Ali Redhauddin.

Majlis yang berlangsung di Rumah Tangsi, di sini turut dihadiri Presiden Pertubuhan Arkitek Malaysia (PAM) Prof Adjung Adrianta Aziz.

Adrianta berkata pameran solo Hajeedar itu antara langkah PAM untuk menyokong usaha Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengangkat bandar raya itu sebagai Bandar Kebudayaan serta menyokong industri kreatif tempatan.

Beliau berkata bidang seni binaan juga sebahagian daripada seni, dan pameran solo Hajeedar itu ialah bukti bidang berkenaan saling berkait rapat.

“PAM berharap pameran seni ini mampu meletakkan bidang seni binaan sebagai antara komponen utama dalam persekitaran kreatif,” katanya dalam ucapan aluan pada majlis itu.

Pameran solo yang mempamerkan koleksi lukisan tokoh itu berlangsung bermula hari ini hingga 1 Dis, sementara buku bertajuk Soul to Reality yang dilancarkan pula antara lain mengandungi karya seni serta seni bina Hajeedar.

Hajeedar bukan nama yang asing dalam dunia seni bina tempatan dan antarabangsa kerana beliau adalah antara arkitek yang terlibat untuk menara berkembar Bank Pembangunan, malah beliau mencatat sejarah sebagai individu pertama menggunakan reka bentuk dan lukisan dengan bantuan komputer (CADD) di Malaysia pada 1983.

-- BERNAMA 

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy