AM

Negeri Sembilan Capai Hampir 100 Peratus Liputan Internet - Exco

27/11/2024 08:05 PM

SEREMBAN, 27 Nov (Bernama) -- Kadar capaian Internet mudah alih di Negeri Sembilan telah mencapai 99.76 peratus setakat suku ketiga tahun ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Warisan, Teknologi, Inovasi dan Digital negeri Datuk Mohd Faizal Ramli.

Beliau berkata kesemua 1,666 stesen pemancar sedia ada juga telah siap dinaik taraf kepada teknologi rangkaian 4G manakala 220,444 daripada 221,627 sambungan talian tetap pula berasaskan gentian optik siap tersedia, dengan bakinya dijangka siap berperingkat penghujung suku keempat tahun depan.

“Rangkaian 5G di negeri ini telah mencapai 77.6 peratus liputan kawasan berpenduduk (COPA) dengan 229 daripada 232 tapak siap dibangunkan yang bertumpu di kawasan utama setiap daerah.

“Kita komited memperluaskan rangkaian Internet melalui inisiatif Jalinan Digital Negara (JENDELA), yang membabitkan pembinaan struktur baharu, pembangunan jalur lebar gentian optik bagi talian tetap dan meningkatkan capaian teknologi 5G ke seluruh kawasan berpenduduk,” katanya ketika sesi penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan 2025 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan negeri Nicole Tan Lee Koon berkata beberapa inisiatif telah diambil, termasuk memperkasakan produk pelancongan daerah dengan menawarkan pakej yang berpotensi bagi menarik minat pelancong sempena Tahun Melawat Negeri Sembilan 2026.

“Acara pelancongan berimpak tinggi juga akan dianjurkan tahun depan, seperti NS Fest yang berjaya menarik kehadiran 1.147 juta pengunjung dari 27 Julai hingga 3 Ogos lepas,” katanya.

Mengenai persiapan Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Sukan negeri Mustapha Nagoor berkata kontinjen Negeri Sembilan akan memfokuskan kepada sukan tidak berteraskan sentuhan seperti menembak, boling dan wushu berikutan pencapaian memberangsangkan pada SUKMA lepas.

Selain itu, beliau berkata setakat 15 Mei lepas, projek Kompleks Sukan Gemas, Tampin dikategorikan sebagai projek sakit dengan kemajuan fizikal lewat 497 hari dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengeluarkan Sijil Perakuan Kerja Tidak Siap (CNC) kepada kontraktor projek pada 17 April lepas.

“KBS mendapati kelewatan projek berpunca daripada masalah aliran tunai kontraktor yang menyebabkan isu kekurangan pekerja dan bahan binaan. Kontraktor juga memohon lanjutan masa hingga 20 Feb tahun depan,” katanya menambah projek berkenaan bermula 24 Mei 2021 dan mengikut jadual asal sepatutnya disiapkan pada 16 April lepas.

Beliau berkata pembinaan Kompleks Sukan Rembau yang dijadual siap 5 Nov lepas mengalami beberapa permasalahan menjadikan tarikh siap terkini pada 19 Jun 2025.

Persidangan DUN bersambung esok.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy