AM

Mangsa Banjir Di Kelantan, Terengganu Terus Meningkat Malam Ini

27/11/2024 11:09 PM

KUALA LUMPUR, 27 Nov (Bernama) -- Situasi banjir yang semakin memburuk di Kelantan dan Terengganu menyaksikan pertambahan mendadak jumlah mangsa dengan lebih banyak pusat permindahan sementara (PPS) dibuka setakat 8 malam ini.

Kedah dan Perlis menjadi negeri terbaharu dilanda banjir hari ini manakala situasi di Perak dan Johor tidak berubah.

Di KELANTAN, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 21,568 orang berbanding 12,526 orang yang berlindung di 127 PPS petang tadi melibatkan sembilan jajahan iaitu Pasir Mas, Pasir Puteh, Kuala Krai, Kota Bharu, Tanah Merah, Machang, Tumpat, Bachok dan Jeli.

Menurut portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) jajahan Pasir Mas mencatatkan jumlah mangsa tertinggi dengan 8,466 orang di 32 PPS, diikuti Pasir Puteh (2,204 mangsa di 16 PPS), Kota Bharu (2,004 mangsa di 17 PPS), Tanah Merah (2,048 mangsa di 18 PPS), Kuala Krai (1,751 mangsa di 18 PPS). 

Machang pula mencatatkan 1,585 mangsa ditempatkan di 11 PPS, Tumpat (1,568 mangsa di lima PPS), Bachok (1,193  mangsa di enam PPS) dan Jeli (756 mangsa di empat PPS).

Dalam pada itu, enam sungai utama di Kelantan melepasi paras bahaya dengan trend menaik iaitu Sungai Lanas di Jeli pada paras 31.28 meter, Sungai Kelantan di Kuala Krai (25.41 meter), Sungai Kelatan di Machang (20.27 meter), Sungai Golok di Rantau Panjang (10.94 meter), Sungai Melor di Bachok (9.85meter) dan Sungai Semerak di Pasir Puteh (3.69 meter).

Satu kematian direkodkan di negeri itu selepas seorang lelaki Tuan Mohd Zakaria Tuan Ismail, 33, maut terkena renjatan elektrik ketika cuba menanggalkan plag mesin basuh susulan kediamannya di Kampung Banir Belikong, Pasir Puteh dinaiki air awal pagi hari ini.

Di TERENGGANU, jumlah mangsa banjir juga meningkat mendadak kepada 3,768 orang berbanding 1,851 orang petang tadi dengan keseluruhan 69 PPS dibuka melibatkan daerah Besut, Setiu, Dungun, Hulu Terengganu, Marang dan Kemaman.

Besut muncul daerah paling terjejas dengan merekodkan 2,335 mangsa ditempatkan di 33 PPS, Hulu Terengganu (513 orang di 19 PPS), Setiu (388 orang di 11 PPS), Dungun (246 orang di dua PPS), Kemaman (215 orang di dua PPS) dan Marang (71 orang di dua PPS).

Paras air sungai di 11 stesen di negeri itu turut mencatatkan bacaan melebihi paras bahaya antaranya Sungai Besut di Jambatan Keruak dan Sungai Besut di Kampung La, Besut; Sungai Nerus di Kampung Langkap, Setiu, Sungai Setiu di Kampung Besut, Sungai Setiu di Jambatan Permaisuri, dan Sungai Chalok di Jambatan Chalok, Setiu.

Sementara itu, Dewan KEDA Kota Aur di Sik, KEDAH merupakan PPS terbaharu dibuka pada lewat petang tadi menjadikan keseluruhan dua PPS dibuka di negeri jelapang padi itu dengan jumlah mangsa terkini 52 orang termasuk seorang bayi perempuan yang dipindahkan ke PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Changlun di Kubang Pasu.

Di PERLIS, sejumlah 149 mangsa dipindahkan ke dua PPS masing-masing di Sekolah Kebangsaan (SK) Guar Nangka di Arau dan SK Titi Tinggi di Padang Besar.

Sementara itu, di PERAK jumlah mangsa banjir kekal 20 orang ditempatkan di PPS SK Haji Parit Aman di Kerian manakala di JOHOR juga tidak berubah melibatkan 28 orang yang masih berlindung di PPS Balai Raya Batu Badak, di Segamat. 

Di SARAWAK, seorang warga emas maut selepas kereta dipandunya terperangkap sebelum dihanyutkan arus deras ke sungai dalam kejadian banjir kilat di Kilometer 4 Jalan Selirik, di Kapit awal pagi tadi.

Terdahulu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini mengeluarkan amaran hujan lebat berterusan tahap bahaya hingga Jumaat dijangka berlaku di seluruh Kelantan dan Terengganu serta daerah Kuantan dan Jerantut di Pahang.

Perlis, Kedah (Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena, Padang Terap, Pendang, Sik dan Baling), Perak (Hulu Perak) dan beberapa kawasan di Pahang melibatkan Cameron Highlands, Lipis, Maran, Pekan serta Rompin juga diramal mengalami hujan lebat berterusan tahap buruk bagi tempoh sama. 

-- BERNAMA

 

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy