AM

14 Agensi Kerajaan Dianugerahkan Sijil Pematuhan SAGA

27/11/2024 11:41 PM

KLANG, 27 Nov (Bernama) -- Sebelas badan berkanun Persekutuan dan tiga pihak berkuasa tempatan (PBT) dianugerahkan Sijil Pematuhan Sistem Perakaunan Standard bagi Agensi Kerajaan (SAGA) oleh Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM) pada Majlis Anugerah Sijil Pematuhan SAGA (MASS) 2024 malam ini. 

Antara penerima anugerah bagi 2023 dan 2024 itu ialah Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang, Universiti Sains Islam Malaysia, Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah, Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran, Lembaga Jurukur Tanah Malaysia dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan.  

Selain itu, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia, Majlis Daerah Tanah Merah, Universiti Utara Malaysia, Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan, Universiti Malaysia Sabah, Majlis Perbandaran Pekan, Majlis Daerah Pendang dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.  

Akauntan Negara Malaysia Nor Yati Ahmad dalam ucapannya berkata dari 2010 hingga kini sebanyak 115 atau 26 peratus daripada 434 agensi kerajaan telah dianugerahkan Sijil Pematuhan SAGA.  

Beliau berkata JANM  juga akan melakukan semakan semula pematuhan di agensi yang telah memperoleh sijil berkenaan bagi memastikan semua kriteria sentiasa dipatuhi sekali gus memastikan kualitinya terpelihara.

"Penganjuran Persidangan SAGA Agensi Kerajaan (SeGAC) akan diadakan secara dwitahunan bertujuan memberikan pendedahan dan perkongsian maklumat mengenai perkembangan teknologi terkini bagi sistem kewangan serta perakaunan berkomputer yang memenuhi kriteria pematuhan SAGA. 

"Selain itu, ia menjadi platform jalinan rangkaian sosial antara agensi kerajaan dan JANM bagi berkongsi pengetahuan serta berdiskusi mengenai perkembangan semasa subjek atau cabaran yang relevan dengan perakaunan," katanya ketika merasmikan MASS di sini.   

Sijil Pematuhan SAGA dianugerahkan bagi mengiktiraf agensi kerajaan yang membangunkan sistem aplikasi perakaunan dan kewangan setelah mendapat kelulusan reka bentuk sistem daripada JANM berdasarkan berdasarkan Surat Pekeliling Akauntan Negara Malaysia Bilangan 3 Tahun 2018. 

Pembangunan berkenaan merangkumi sistem aplikasi perakaunan dan kewangan yang dibangunkan secara dalaman atau Commercial Off-The-Shelf  (COTS) serta sistem sokongan berkaitan data kewangan yang berintegrasi dengannya. 

Turut dianugerahkan sijil penghargaan pada majlis malam ini ialah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, Kementerian PendidikanTinggi, Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam. 

Selain itu, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Kementerian Komunikasi, Jabatan Perdana Menteri, Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang dan Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan. 

-- BERNAMA 

 

 

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy