EKONOMI

Ananda Krishnan Meninggal Dunia Pada Usia 86 Tahun

28/11/2024 06:38 PM

KUALA LUMPUR, 28 Nov (Bernama) -- Taikun perniagaan, Ananda Krishnan meninggal dunia hari ini pada usia 86 tahun.

Berita itu disahkan oleh syarikat pegangan pelaburan yang diterajui beliau, Usaha Tegas Sdn Bhd, menerusi satu kenyataan.

“Dengan penuh rasa dukacita yang mendalam, kami mengumumkan pemergian Pengerusi, Ananda Krishnan Tatparanandam, yang meninggal dunia dengan tenang pada 28 Nov, 2024.

“Beliau telah membuat sumbangan besar untuk pembinaan negara serta dunia korporat, dan sifat dermawan beliau dalam usaha kebajikan telah memberi manfaat kepada banyak pihak. Kami dengan rendah hati memohon agar hasrat keluarga untuk berkabung secara tertutup dapat dihormati,” menurut syarikat itu.

Ananda, dilahirkan pada 1 April, 1938 di Brickfields, di sini dengan nama penuh Tatparanandam Ananda Krishnan atau T. Ananda Krishnan, menjadi antara tokoh perniagaan terkemuka Malaysia dan disenaraikan sebagai satu daripada individu terkaya di negara ini.

Ananda, lulusan Harvard Business School, memulakan Usaha Tegas dan kemudian mengasaskan Maxis Communications dan MEASAT Broadcast Network Systems.

Kepimpinannya telah mendorong Maxis menjadi antara penyedia telekomunikasi terkemuka di Malaysia.

Menurut senarai bilionair terkini Forbes, nilai bersih Ananda adalah US$5.1 bilion (US$1=RM4.4325) pada 27 Nov, 2024, meletakkan mendiang sebagai individu ke-667 terkaya di dunia.

Beliau meninggalkan seorang anak lelaki, yang kemudian menjadi sami Buddha, serta dua anak perempuan.

-- BERNAMA

 

 

 


 

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy