RENCANA

'Baby Hatch': Penyambung Hayat Bayi Terbuang

29/11/2024 10:04 AM

Kes 1: Seorang bayi perempuan yang masih bertali pusat dan uri ditemukan di sebuah pusat pengajian Islam di Selama, Perak, membawa kepada penahanan seorang remaja lelaki dan perempuan, masing-masing berusia 17 dan 14 tahun, kerana disyaki membuang bayi berkenaan. 

Kes 2: Seorang bayi lelaki berusia kira-kira seminggu ditemui berhampiran pantai Paka, Terengganu. Bayi malang itu yang diletakkan di dalam sebuah beg dan ditinggalkan di dalam parit kering, nyaris digigit anjing sebelum ditemukan oleh seorang pemandu lori.

Kes 3: Di Taman Daya, Johor Bahru, seorang bayi perempuan baru lahir ditemukan di atas anak tangga tingkat sembilan sebuah pangsapuri pada 11 Mac lepas.

Ketiga-tiga kes buang bayi itu adalah contoh “mimpi buruk” yang terus menghantui  masyarakat di negara ini, yang dilaporkan dari semasa ke semasa, sama ada bayi yang dibuang atau ditinggalkan itu masih bernyawa ataupun hanya sekujur tubuh kaku.

Di sebalik pelbagai usaha diambil oleh pihak berwajib dan juga pertubuhan bukan kerajaan (NGO)/pertubuhan sosial, isu ini nampaknya masih belum dapat ditangani sepenuhnya, sekali gus menuntut pihak berwajib mengambil langkah yang lebih proaktif serta berkesan, untuk dilaksanakan dengan kadar segera.

 

STATISTIK KES BUANG BAYI  

Berdasarkan statistik rasmi yang diperolehi daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), untuk tempoh Januari hingga September 2024, sebanyak 75 kes pembuangan bayi dilaporkan berbanding 96 kes untuk tempoh yang sama pada tahun 2023. Meskipun ada sedikit penurunan, ia perlu dilihat sebagai masih membimbangkan.

Data yang diperolehi seterusnya menunjukkan, daripada 75 kes yang dilaporkan itu (Januari -September 2024),  48 bayi ditemui meninggal dunia dan 27 bayi berjaya diselamatkan. Sementara untuk sepanjang tahun 2023, daripada 128 kes pembuangan bayi, 58 bayi ditemui hidup dan 70 bayi ditemui meninggal dunia.

Manakala mengikut negeri, untuk tahun 2023, Selangor mencatatkan kes tertinggi dengan sebanyak 38 kes, diikuti Sabah (21) dan Johor (14). 

Bagi tempoh Januari hingga September 2024, negeri yang mencatat kes tertinggi pembuangan bayi ialah Selangor (21) diikuti Johor (9) dan Perak (8).

Dari segi undang-undang pula, kes buang bayi di negara ini lazimnya disiasat  di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 dan juga Kanun Keseksaan.

Lokasi kes pembuangan bayi di Malaysia biasanya melibatkan tempat-tempat yang mudah dilalui, tersembunyi, atau kurang tumpuan ramai. 


SAC Siti Kamsiah Hassan

Menurut Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual, Wanita & Kanak-Kanak, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman SAC Siti Kamsiah Hassan, lokasi pembuangan bayi paling kerap ialah kawasan perumahan seperti luar rumah jiran, lorong belakang rumah dan taman permainan.

Hospital, klinik, masjid, tandas awam, pasar dan tong sampah turut menjadi tempat sasaran untuk meninggalkan atau  membuang bayi.

“Akses kepada CCTV (Televisyen Litar Tertutup) di kawasan awam dan rondaan kerap membantu mengenal pasti lokasi-lokasi risiko tinggi,” katanya kepada Bernama, menerusi jawapan bertulis.

Namun, penyelesaian kepada isu ini memerlukan lebih daripada sekadar pengawasan. Ia menuntut perubahan dalam sikap masyarakat terhadap kehamilan luar nikah dan penyediaan sokongan yang lebih menyeluruh kepada ibu dalam krisis.

 

KEHAMILAN LUAR NIKAH TABU YANG MEMBEBANKAN

Menurut Siti Kamsiah, stigma terhadap kehamilan luar nikah adalah antara faktor yang menjadi akar permasalahan menyebabkan ada yang bertindak nekad dan memilih tindakan yang lebih tragis.

“Stres, tekanan psikologi, dan kurangnya sokongan emosi boleh mendorong individu membuat keputusan tidak rasional termasuk membuang bayi,” katannya. 

Faktor lain yang menyumbang kepada isu berkenaan adalah pendedahan meluas kepada bahan lucah dan unsur seksual di media sosial, terutamanya dalam kalangan remaja yang kurang didedahkan kepada pendidikan seksual yang menyeluruh.

PDRM, katanya, menyokong inisiatif seperti pusat perlindungan bayi seperti baby hatch iaitu memberikan alternatif lebih selamat untuk ibu dalam krisis.

Namun, beliau menegaskan, masyarakat perlu difahamkan bahawa pusat perlindungan itu bukan menyokong kes kehamilan luar nikah atau seks bebas.

“Nasihat kepada ibu mengandung luar nikah turut diberikan bagi mendapatkan kaunseling daripada NGO, JKM, atau hospital kerajaan sebagai langkah pencegahan awal untuk mengelakkan mereka memilih jalan pembuangan bayi dan seterusnya kembali kepada cara hidup yang mengikut lunas agama dan budaya,”

Siti Kamsiah menekankan bahawa kes pembuangan bayi diklasifikasikan jenayah serius di bawah Kanun Keseksaan dan tindakan undang-undang tegas dikenakan kepada pelaku termasuk hukuman penjara yang panjang atau hukuman denda.

 

‘BABY HATCH’ : SOLUSI KEMANUSIAAN

Mendepani isu ini, inisiatif baby hatch dilihat sebagai penyelamat nyawa yang memberi peluang kedua kepada bayi-bayi terbuang ini dengan memberikan individu yang terdesak pilihan yang lebih selamat dan manusiawi.

Baby hatch adalah ruang khas yang direka untuk membolehkan ibu meninggalkan bayi mereka secara rahsia dan selamat. Ruang ini dilengkapi dengan alat pengesan yang memaklumkan petugas sebaik sahaja seorang bayi diletakkan di dalamnya. Bayi yang diselamatkan kemudiannya dimasukkan ke dalam program penjagaan anak angkat atau institusi yang sesuai.


Nor Aidil Ikram Muhamad

Pegawai Eksekutif KPJ Seremban, Nor Aidil Ikram Muhamad bagaimanapun menegaskan, inisiatif baby hatch tidak sepatutnya dilihat sebagai galakan kepada tindakan tidak bermoral, sebaliknya lebih kepada usaha menyelamatkan nyawa.

“Fokus kami adalah untuk menyelamatkan bayi tanpa sebarang prejudis. Paling penting bayi itu tidak dibuang, tetapi diletakkan di sini dengan selamat,” katanya menambah, sejak tahun 2013, pusat perlindungan bayi KPJ Seremban menyelamatkan 10 bayi termasuk seorang bayi yang dikesan dijangkiti HIV. 

Menurut Nor Aidil Ikram, bayi-bayi yang diselamatkan akan dihantar ke hospital bagi saringan kesihatan sebelum diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang akan bekerjasama dengan Yayasan OrphanCare untuk memastikan bayi tersebut ditempatkan dengan keluarga angkat yang sesuai.  

Pengurus Besar Yayasan OrphanCare, Zakiah A Rahman pula berkata, isu pembuangan bayi perlu ditangani dengan pendekatan menyeluruh dan bukan sekadar menghukum. 

  “Masyarakat perlu bersatu dalam memberikan sokongan dan bantuan kepada mereka yang berdepan dengan kehamilan tidak dirancang agar tindakan lebih tragis dapat dielakkan,” katanya.

Sejak inisiatif itu dilaksanakan pada tahun 2008, lebih 600 bayi diselamatkan oleh NGO itu melalui lapan baby hatch yang terdapat di seluruh Malaysia. 

OrphanCare turut menyediakan program sokongan khas kepada ibu yang berdepan dengan kehamilan tidak dirancang dengan memberi bimbingan kepada mereka, bermula dari fasa awal kehamilan, termasuk membuka buku pink, penjagaan sebelum dan selepas bersalin, serta menyediakan kelengkapan bayi sehingga anak itu berusia setahun. 

“Kami sentiasa menasihati ibu-ibu ini supaya berfikiran realistik dan mengutamakan kebajikan anak mereka,” katanya. 

 

PENDIDIKAN DAN SOKONGAN EMOSI 

Pensyarah Kanan Kaunseling USIM, Dr Farhana Sabri pula melihat inisiatif baby hatch yang pada awalnya disalah anggap, kini terbukti bermanfaat dalam menyelamatkan nyawa bayi yang tidak berdosa. 

Namun, katanya, baby hatch hanyalah sebahagian daripada solusi, kerana yang lebih utama adalah untuk meningkatkan kesedaran masyarakat untuk mencegah perbuatan tidak bermoral yang membawa kepada situasi tersebut.


A baby hatch is a special place where mothers who are unable to provide for themselves can leave their babies in privacy and safety.

Melihat ke hadapan, Dr Farhana menekankan kepentingan keluarga angkat untuk memberikan komitmen sepenuh hati dalam mendidik dan menyokong emosi anak-anak ini agar mereka tidak sekali-kali dilihat atau dilabel sebagai "terbuang".

 

Disunting oleh Melati Mohd Ariff

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy