AM

Sistem e-Tanah Di Pahang Dilaksanakan Sepenuhnya 2027

29/11/2024 01:13 PM

KUANTAN, 29 Nov (Bernama) -- Sistem pengurusan dan pentadbiran tanah bersepadu yang menekankan agenda pendigitalan e-Tanah, akan mula dilaksanakan sepenuhnya di Pahang menjelang tahun 2027.

Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata pembangunan sistem itu dengan kos RM128 juta yang ditanggung sepenuhnya Kerajaan Persekutuan, akan memudahkan rakyat negeri ini mendapatkan maklumat dan perkhidmatan berkaitan urusan tanah secara atas talian. 

Beliau berkata buat masa ini, pihak Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri dalam proses menyediakan kontrak perjanjian berkaitan pembangunan sistem tersebut yang dijangka ditandatangani Mac depan.

“Setelah diteliti Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri, Penasihat Undang-Undang Negeri akan meneliti kontrak perjanjian tersebut dan selepas kontrak perjanjian dimulakan, insya-Allah, (pembangunan) sistem ini akan bermula selepas enam bulan kontrak ditandatangani, pada Sept 2025. 

“Tempoh pembangunan sistem ini akan mengambil masa 24 bulan mengikut tempoh maksimum dan go live menjelang tahun 2027, yang akan diguna pakai oleh semua rakyat Pahang,” katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Mohd Johari Hussain (BN-Tioman) yang ingin tahu status terkini pembangunan sistem e-Tanah dan manfaatnya kepada rakyat. 

Wan Rosdy berkata sistem tersebut akan mengukuhkan lagi urusan pentadbiran tanah yang juga melibatkan urusan permohonan tanah serta semakan status permohanan tanah dan lain-lain urusan berkaitan dengannya. 

“(Dengan adanya sistem ini) faedahnya banyak, kita (juga) boleh menarik pelabur, memudahkan urusan pemilik tanah dan mengelak berlakunya penipuan. Ini menjadikan sesuatu urusan lebih cepat dan cekap. Datanya lagi komprehensif, bersepadu dan sebab itu, kerajaan negeri bersetuju dengan (pelaksanaan) sistem e-Tanah,” katanya. 

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy